Monday, 27 November 2017

PERGAULAN BEBAS


Hubungan bebas lelaki dan perempuan membawa padah mencemarkan maruah diri, keluarga dan agama.  Segelintir muda-mudi Islam kini tidak lagi segan silu berpelukan dan bercium di tempat awam.  Mereka menganggap itu hak asasi yang tidak boleh dihalang oleh sesiapa, termasuk ibu bapa mereka sendiri.

Keadaan ini berlaku akibat kurang didikan agama dan pengaruh budaya Barat yang semakin parah mengancam kemurnian dan kesucian Islam.  Apa yang dilakukan tidak langsung menggambarkan diri mereka penganut Islam.  Mereka tidak mengikut apa yang ditetapkan oleh Islam. 

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:  “Janganlah seorang lelaki dan wanita berdua-duaan bersama melainkan jika ditemani oleh mahramnya.”  (Hadis riwayat Bukhari)

Pergaulan bebas membenihkan gelora nafsu tidak terkawal.  Sekarang banyak tempat boleh dijadikan lokasi melepaskan tuntutan nafsu.  Kewujudan hotel murah dan sikap pengurusan hotel menawarkan sewaan mengikut jam memudahkan golongan muda menggunakan untuk tujuan tidak baik. 

Malah cara hidup keluarga yang tidak mengambil berat soal halal haram apa dilakukan anak-anak mereka turut mendorong sesetengah anak menjadikan rumah sendiri sebagai tempat melakukan maksiat ketika ibu bapa tiada di rumah. 

Peluang berdua-duaan mendekatkan diri kepada perlakuan sumbang kerana perbuatan itu terdedah kepada hasutan syaitan.  Hadis diriwayatkan Ahmad bermaksud: “Janganlah seorang lelaki dan wanita berdua-duaan bersama kerana syaitan akan hadir sebagai orang ketiga.”

Maka, tidak hairanlah statistik kelahiran anak tidak sah atau anak zina bertambah dari tahun ke tahun kesan daripada persetubuhan haram yang dilakukan.  Fenomina itu turut menyumbang kepada peningkatan kes buang bayi.    

Tentunya satu amat memalukan apabila kebanyakan kes buang bayi yang dilaporkan melibatkan golongan muda beragama Islam.  Ini amat bertentangan dengan ajaran Islam yang mengharamkan perbuatan zina dan lebih-lebih lagi membuang bayi yang kebanyakannya menyebabkan bayi dibuang itu meninggal dunia.  Malah lebih teruk apabila bayi yang baru dilahirkan dibunuh demi untuk menutup aib.

Mendepani masalah ini, banyak pihak saling menuding jari menyalahkan itu dan ini.  Sikap itu tidak menyelesaikan masalah. Apa yang buruk terus berulang tanpa bertemu titik penyelesaian. 

Hakikatnya, apa yang berlaku dapat diatasi sekiranya kita kembali menghayati ajaran Islam.  Islam mengajar agar saling menasihati dan mencegah perkara buruk. Apa yang dilakukan tidak terhad kepada usaha mencegah secara fizikal, tetapi juga sikap apabila berdepan dengan perkara buruk.    

Perkara ini ditegaskan Rasulullah SAW melalui sabda bermaksud: “Sesiapa antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya, jika ia tidak berdaya maka ubahlah dengan lisannya dan jika tidak mampu (ubahlah), dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Maka itu, dalam Islam tidak wujud istilah jaga tepi kain orang.  Setiap orang bertanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan mencegah berlaku keburukan. 

Allah berfirman bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada perkara mungkar; merekalah orang yang beruntung.” - (Surah Ali Imran, ayat 104)

No comments:

Post a Comment