Monday 27 November 2017

BATAS HUBUNGAN LELAKI WANITA


Syariat Islam tidak melarang secara total pergaulan antara lelaki dan wanita asalkan mengikut lunas yang ditetapkan. Antara perkara yang ditekankan ialah pergaulan tidak melibatkan bersentuhan lelaki perempuan, bertemu di tempat terbuka, menjaga adab berpakaian agar tidak terdedah sana sini yang membangkitkan nafsu dan mengelak aksi atau reaksi berbentuk menggoda.

Lelaki dan perempaun ditegah bertemu melainkan jika ditemani oleh mahram kepada perempuan itu yang bertindak sebagai penjaga. Pasangan bertunang juga tidak boleh bebas berhubung kerana pada hakikatnya hubungan pertunangan itu tidak menghalalkan apa yang diharamkan kepada pasangan belum bertunang. 

Pasangan bertunang tidak mempunyai apa-apa pengecualian atau hak, melainkan sekadar satu perjanjian untuk melangsungkan perkahwinan pada masa depan. Batasan hubungan pasangan bertunang sama seperti mereka tidak bertunang. 

Justeru, satu tanggapan atau amalan salah apabila pasangan bertunang bebas berhubung dengan alasan mereka akan berkahwin nanti.      

Satu lagi ancaman menyerang golongan muda yang membawa kepada seks bebas ialah pengaruh lucah. Lucah selalunya dikaitkan dengan perangai tidak senonoh, kotor dan keji yang menjejaskan pembangunan minda dan sahsiah masyarakat, terutama remaja yang mudah terpengaruh dengan sesuatu yang baru dan menyeronokkan.

Gambar pornografi mudah diperoleh melalui maya. Ini bermakna ia dapat dicapai di mana-mana saja asalkan ada kemudahan internet dan gejet bersesuaian seperti komputer, telefon dan sebagainya. 

Hal berkaitan internet sukar dikawal kerana melibatkan ruang maya yang tidak bersifat fizikal. Ini jauh berbeza ancaman pronografi pada dua atau tiga dekad lalu yang disebarkan melalui pita video, majalah dan buku. Penyebarannya mudah dikawal biarpun tidak sepenuhnya. 

Apa yang berlaku menepati kebimbangan yang pernah disuarakan oleh Prof Dr Hamka yang menyebut: “Segala sesuatu yang akan mendekatkan dengan zina terbuka di mana-mana.”

Oleh yang demikian, usaha bersungguh-sungguh ke arah membina generasi muslim yang mempunyai ketrampilan dan berakhlak mulia perlu membabitkan semua pihak. Ia bagi memastikan masalah sosial yang kian parah dalam masyarakat dapat dikurangkan secara perlahan-lahan sehingga kadar paling minimum.

Allah berfirman bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada perkara mungkar; merekalah orang yang beruntung.” (Surah Ali Imran, ayat 104)

No comments:

Post a Comment