Thursday 25 January 2018

KERJA LEBIH MASA KURANGKAN PRODUKTIVITI

Melalui satu kajian pada 2017 mendapati bahawa tenaga kerja Malaysia secara amnya tidak sihat.

Sebanyak 64 peratus daripada responden juga didapati tidak aktif secara fizikal, 90 peratus mempunyai diet yang tidak seimbang dan 53 peratus mengalami tekanan yang berkaitan hal-hal kerja.

Masalah kesihatan menjejaskan produktiviti pekerja. Contohnya, jika seseorang mempunyai penyakit kronik, ia sudah tentu sekali akan menjejaskan kualiti hidup.

Kajian juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Data yang diperoleh daripada kajian menunjukkan pekerja-pekerja di Malaysia bekerja tiga jam lebih lama setiap hari.

Ini bermakna, waktu petang dihabiskan di pejabat sedangkan waktu tersebut sepatutnya digunakan untuk bersenam atau beriadah bersama rakan-rakan dan ahli keluarga.

Secara fizikal, pekerja berada di tempat kerja, namun secara mental, pekerja sudah letih, seterusnya tiada masa untuk bersenam.

Apabila kita pulang kerja lewat, makan malam juga akan menjadi lewat, seterusnya menjadikan kita terdedah dengan masalah-masalah kesihatan lain seperti obesiti yang juga akan menjejaskan kesihatan untuk jangka masa yang panjang.

Penyakit-penyakit seperti inilah yang menyebabkan produktiviti di tempat kerja terjejas.

Akibat situasi itu, secara puratanya, majikan kehilangan 67 hari produktif akibat masalah presentism iaitu pekerja yang muncul bekerja walaupun mereka tidak sihat dan juga absentism iaitu pekerja yang mengambil cuti akibat tidak sihat.

Keputusan menunjukkan bahawa 58.8 hari adalah disebabkan oleh presentism, manakala 8.2 hari adalah disebabkan oleh absentism.

Pekerja yang kurang produktif juga akan merugikan syarikat.

Rata-rata pekerja dilihat sedar produktiviti mereka terjejas akibat bekerja lebih masa. Contohnya, mereka berasa letih dan sukar untuk fokus ketika bekerja, namun masih juga muncul di pejabat.

Kajian penyelidikan menunjukkan bahawa kehadiran pekerja tidak produktif sering dikaitkan dengan dasar tempat kerja yang telah dilaksanakan untuk mengurangkan ketidakhadiran.

Majikan rata-ratanya lebih memfokuskan kepada empty chairs yang merujuk kepada absentism atau ketidakhadiran daripada melihat kepada masalah utama yang menjejaskan produktiviti iaitu pekerja yang hadir biarpun tidak sihat.

Tuntutan kerja juga memainkan peranan, dengan beban kerja yang berat, kekurangan tenaga kerja, bekerja lebih masa dan tarikh akhir menyiapkan kerja memotivasikan semua orang untuk bekerja walaupun mereka sakit.

Setakat ini, tidak banyak tumpuan diberikan terhadap peranan majikan dalam memperjuangkan kesihatan dan kesejahteraan pekerja di pejabat.

Oleh itu, ini merupakan masa yang tepat buat majikan melihat dengan lebih dekat tahap kesihatan dan kesejahteraan pekerja. Bekerja lebih lama tidak semestinya memberikan lebih produktiviti.



No comments:

Post a Comment