Tuesday, 29 May 2018

IBADAT PUASA KIKIS SIKAP TAMAK

Sifat tamak dan sayangkan dunia telah menyesatkan banyak orang, termasuk Qarun. Satu cara mengikis sikap tamak ialah melalui ibadat puasa.

Cerita keangkuhan Qarun dan nasib yang menimpanya disebabkan sifat tamak dan tidak bersyukur dengan rezeki dikurniakan oleh Allah dijelaskan dalam al-Quran untuk dijadikan pengajaran kepada seluruh umat manusia.  

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Qarun itu termasuk kaum Musa, tetapi dia melakukan aniaya kepada mereka, dan Kami berikan kepadanya kekayaan, yang kuncinya berat dipikul oleh sekumpulan orang yang kuat.” (Surah al-Qashash, ayat 76)

Bagi orang beriman, kemewahan hidup di dunia ini umpamanya bangkai. Sebuah hadis diriwayatkan oleh Tarmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim menjelaskan perbandingan itu sepertimana bangkai anak kambing yang dibuangkan oleh tuannya.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak kamu terfikir bagaimana tidak berharganya bangkai kambing itu bagi tuannya. Demi Allah, dunia ini hina pada pandangan Allah lebih daripada kambing itu menurut pandangan tuannya. Kalau dunia ini sama (nilainya) di sisi Allah dengan sehelai sayap nyamuk nescaya Allah tidak memberi minum kepada orang kafir walaupun seteguk air pun.”

Rasa keimanan yang disuburkan sepanjang Ramadan membersihkan diri daripada sifat tercela, sebaliknya bertunas dan suburlah pula sifat-sifat ingin beriman sejati. Bulan Ramadan diibaratkan seperti kem melatih orang Islam membina jati diri sebagai Muslim sejati yang tidak mudah terpedaya dengan tipu daya dunia. 

Sesiapa yang benar-benar melakukan ibadat puasa dengan niat patuh dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah, maka diperoleh olehnya rahmat, keampunan dan tertebus dari api neraka.

Laksanakan puasa bulan Ramadan ini dengan penuh ketakwaan dan merebut sebanyak mungkin kebaikan yang terkandung di dalamnya seperti inilah Ramadan yang terakhir bagi kita. Sesungguhnya, tidak siapa dapat menentukan bilakan ajalnya dan mungkin di antara kita tidak berpeluang lagi untuk menemui Ramadan pada tahun hadapan.

Ketahuilah, terdapat satu pintu syurga dihiaskan dan diindahkan setiap kali tiba Ramadan dan bertambah indah sehinggalah pada hari kiamat yang mana ia menjadi pintu kepada mereka yang berpuasa untuk memasuki syurga. 

Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesungguhnya syurga mempunyai sebuah pintu yang disebut al-Rayyan, dipanggil dan diseru pada hari kiamat nanti: "Manakah dia orang yang berpuasa?" Lalu bila orang yang terakhir dari mereka telah masuk ke dalamnya, maka pintu itu pun ditutup." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment