Tuesday 29 May 2018

IBADAT PUASA KIKIS PERASAAN CINTAKAN DUNIA


Bulan Ramadan membawa bersama seribu satu keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri. 
Ibadat puasa mengikis perasaan terlalu cintakan dunia. Bagi seorang Muslim yang arif dengan ilmu agama dan iman yang jitu, kedatangan Ramadan begitu dinanti-nantikan kerana berpeluang meningkatkan ketakwaan dan himpunan pahala. 

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ketakwaan, maka dia akan diampunkan baginya segala dosa yang telah lalu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara kelebihan melakukan ibadat puasa ialah mampu mendidik manusia menjadi hamba yang bertakwa dan membersihkan diri daripada sifat-sifat buruk. Sebab itu ibadat puasa dianggap amat penting bagi setiap umat Nabi Muhammad dan juga umat nabi terdulu.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Dalam agama lain, amalan berpuasa (yang dilakukan dengan pelbagai cara dan pendekatan mengikut agama masing-masing) dianggap sebagai cara mendekatkan diri dengan Tuhan mereka dan menghapuskan dosa.

Ibadat puasa yang dilakukan dengan niat ikhlas mengabdikan diri kepada Allah, mendapat balasan yang amat istimewa dan tiada tandingannya. Bahkan, ia turut menjadi benteng yang kukuh mengelak diri daripada terpengaruh daripada melakukan perbuatan yang tercela.

Di antara perbuatan tercela yang terhindar daripada dilakukan oleh orang yang melaksanakan puasa dengan ikhlas dan sempurna ialah perasaan terlalu mencintai dunia. Rasulullah menyebut perasaan mencintai dunia melebihi kepentingan hidup di akhirat sebagai satu penyakit umat akhir zaman yang membawa ke arah kehancuran.

Perasaan terlalu mencintai dunia akan menghalang seseorang daripada membelanjakan apa yang dimiliki ke jalan Allah. Malah, setiap perbuatan yang dilakukan semata-mata mengharapkan segala bentuk habuan di dunia seperti wang ringgit, harta benda, pangkat, kedudukan dan pujian. 

Sebaliknya, orang berpuasa sentiasa merasakan diri hampir dengan Allah dan ingin melakukan amalan yang disukai Allah. Orang beriman sedar bahawa segala kekayaan dan kejayaan yang dimilikinya di dunia ini semuanya datang daripada Allah.

Membersihkan diri daripada dosa berkaitan harta perlu disegerakan agar tidak terus menguasai diri. Sifat sayangkan dunia menjadi senjata utama syaitan menyesatkan manusia. Biarpun ajal sudah amat hampir, masih terbayang kepada kekayaan, pangkat dan kemewahan yang disayangi. 

Ketika hampir ajal, syaitan mendekati orang terlalu sayangkan dunia, lalu ditawarkan bantuan untuk mencapai segala impian. Syaitan menawarkan bantuan dengan syarat manusia sanggup mengakui kekuasaan syaitan. 

Orang tamak dan terlalu sayangkan dunia mudah dikuasai syaitan ketika hampir ajalnya dan matilah dia dengan keadaan tidak beriman kepada Allah. Mereka menyangka bahawa harta yang dimiliki itu mampu membayar kemewahan yang berkekalan.

No comments:

Post a Comment