Tuesday 29 May 2018

AMALAN SEDEKAH PADA BULAN RAMADAN


Pekerti mulia yang lahir hasil melakukan ibadat puasa ialah bersedekah. Pada bulan Ramadan banyak orang menghulur sedekah atau bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.
 Amalan sedekah tumbuh subur pada bulan Ramadan. 

Sikap ini bertepatan dengan galakan yang dinyatakan oleh Rasulullah bahawa seutama-utama sedekah ialah yang dilakukan pada bulan Ramadan. Rasulullah ditanya mengenai jenis sedekah yang lebih utama kebaikannya, lalu baginda bersabda bermaksud: “Bersedekahlah pada bulan Ramadan.”  (Hadis riwayat Anas)

Sebab itu amat ditekankan agar sesiapa yang berkemampuan agar menghulurkan sedekah walaupun dalam jumlah yang sedikit. Selain memberi sedekah dalam bentuk wang dan barang keperluan, sedekah berupa makanan juga amat digalakkan dilakukan pada bulan Ramadan. 

Penyediaan makanan untuk berbuka puasa kepada orang ramai sering dijadikan amalan golongan berkemampuan. Ia bukan saja atas niat membantu, tetapi sebagai satu cara merapatkan tali persaudaraan. Majlis melibatkan saudara mara, rakan dan jiran tetangga membentuk rasa muhibbah dan memperkuatkan perasaan kasih sayang.

Sesiapa yang menyediakan hidangan berbuka puasa kepada orang berpuasa, maka dia beroleh pahala puasa orang yang berbuka itu, tanpa sedikitpun pahala orang itu berkurangan. Ia dapat melipatgandakan pahala berpuasa dan menampung kekurangan pahala puasa diri sendiri.

Sedekah juga adalah mekanisma untuk membersihkan diri dan harta daripada unsur-unsur kotor. Harta yang diperoleh secara salah, sama ada secara sedar dan tidak sedar, perlu dibersihkan dengan cara disedekahkan kepada orang miskin atau dibelanjakan untuk kebaikan umum.

Firman Allah bermaksud: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah amat mendengar lagi amat mengetahui.” (Surah at-Taubah, ayat 103)

Justeru, pada bulan Ramadan yang diberkati perlu ditekankan sifat bersedekah dan membantu orang yang memerlukan. Di sebalik ibadat puasa tersimpan tujuan agar lahir rasa keinsafan dan bersyukur akan nikmat yang dirasai berbanding orang lain yang hidup lebih menderita.

Menahan rasa lapar dan terhalang daripada melakukan perbuatan yang membatalkan puasa, jelas satu ujian besar bagi mereka yang selama ini hidup senang dan dapat memenuhi apa yang diingini. 

Ketika menjalani ibadat puasa, semua orang tanpa mengira kekayaan dan kedudukan terpaksa melalui satu situasi yang sama, iaitu berlapar dan menahan diri daripada melakukan perbuatan membatalkan puasa. 

Dengan itu, sesiapa melakukan puasa dengan sebenar-benarnya akan dapat merasakan bahawa semua kekayaan dan kejayaan dimiliki tidak lagi bernilai, melainkan ketakwaan dan keimanan saja yang menjadi penentu kehidupan di akhirat.

No comments:

Post a Comment