Sunday 3 June 2018

PERABOT DAN LANGSIR BAHARU SAMBUT RAYA


Aidilfitri hari kemenangan dan kegembiraan. Sebenarnya bukan persiapan yang penting untuk menyambut hari raya. Yang lebih penting dalam menyambut Aidilfitri ialah perasaan gembira, membentuk semangat berkasih sayang, mengeratkan tali persaudaraan, saling membantu dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.


Ada yang pening kepala dan rungsing untuk menyambut hari raya disebabkan tiada persiapan kerana kurang wang untuk membeli apa yang diingini. Timbul rasa malu kepada jiran. Malu kerana masih mengguna langsir dan perabot lama. Kuih dan biskut raya sekadar dua tiga jenis sahaja.

Kita tidak sepatutnya terpengaruh dengan kemampuan orang lain. Setiap orang mempunyai kemampuan berbeza. Kegembiraan bukan bergantung kepada kemampuan menyediakan kebendaan, tetapi bergantung kepada jiwa dan fikiran kita.

Sekarang ini untuk berhutang memang mudah. Banyak cara berhutang terutama melalui cara penggunaan kad kredit, skim bayaran ansuran, pinjaman berjangka dan sebagainya. 

Syarikat perabot dan kedai elektrik banyak mengadakan jualan secara skim bayaran ansuran dan sewa beli. Syarat membeli secara bayaran ansuran dan sewa beli agak longgar. Kebanyakan individu mudah diluluskan untuk mendapat perabot yang diingini dengan hanya membayar sedikit bayaran pendahuluan atau dalam kebanyakan kes tanpa membayar apa-apapun. 

Membeli secara tersebut mudahnya disebut hutang. Berhutang memang tidak ditegah oleh agama. Bagaimanapun adalah lebih baik jika dapat mengelakkan diri daripada berhutang. Amalan berhutang banyak mendatangkan keburukan jika tidak dikawal dan tidak berhati-hati.

Sebab itu, Rasulullah SAW berdoa agar dilindungi daripada masalah hutang.  Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada perasaan risau dan sedih, aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat takut dan lokek, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berhati-hatilah ketika berbelanja menyediakan persiapan untuk menyambut hari raya.  Adalah lebih baik bersederhana dan mengelak masalah hutang yang akan mendatangkan masalah kemudiannya. Disebabkan banyak berhutang sehingga tidak mampu dilunaskan sehingga Aidilfitri tahun seterusnya, sedangkan pada tahun itu juga ingin diadakan persiapan menyambut Aidilfitri.

Banyak individu dibebani hutang akan terus terjebak dengan hutang. Apabila ingin membayar sesuatu hutang yang genap tempoh membayarnya, maka dia mencari sumber lain pula untuk berhutang. Kes ini dipanggil gali lubang timbus lubang. Lubang yang digali semakin banyak sedangkan yang ditimbus tidak tertutup-tutup.

No comments:

Post a Comment