Sunday 3 June 2018

SURAT BERANTAI PEDAYA ORANG ISLAM


Surat berantai yang menawarkan keuntungan beratus ribu kepada orang ramai banyak tersebar di negara kita. Biarpun pendedahan demi pendedahan dibuat di media massa, tetapi masih banyak yang tidak serik untuk menyertainya dan menjadi mangsa kepada skim tersebut.


Biarpun kerugian yang ditanggung tidak besar, ia bukan alasan untuk menganggap perkara ini remeh. Secara keseluruhannya skim ini telah melahirkan kesan negatif yang berpanjangan, terutama kepada orang Islam.   

Antara sebab mengapa surat berantai terus berada dalam edaran ialah, kononnya atas dasar untuk kebaikan umat Islam. Memang banyak orang Islam terlibat dalam skim itu kerana keliru yang kononnya skim itu berbentuk sedekah dan sesiapa menyertainya dianggap membantu sesama Islam. 

Skim sedekah itu didakwa hanya untuk umat Islam. Ada juga ustaz yang diajukan pandangan tentangnya mengatakan skim itu patut disertai oleh orang Islam. Mereka membuat rumusan tersebut tanpa membuat usul periksa. Asalkan atas dasar Islam, maka semua boleh dan patut dilakukan. 

Sikap tidak mahu menyelidiki dan membuat ‘home work’ adalah antara punca umat Islam tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai sesuatu perkara. Hal ini diambil kesempatan pihak yang ingin memperbodohkan orang Islam. Apa sahaja yang disogokkan mengenai kebaikan untuk orang Islam akan diterima dengan mudah.    

Untuk mempengaruhi orang ramai menyertainya, kandungan surat itu disertakan dengan petikan ayat al-Quran dan hadis yang menggalakkan amalan tolong menolong dan bekerjasama. Ayat al-Quran dan hadis yang dikemukakan memang tepat maksudnya. Malangnya ia digunakan untuk tujuan mengeliru dan menipu mereka yang jahil mengenai agama.

Rezeki yang diberikan oleh Allah kepada kita wajib dikongsikan bersama orang Islam lain dengan cara menyertai skim itu. Sesiapa yang menyertainya dianggap telah bersedekah, menolong atau memberi kebaikan kepada orang Islam. 

Memandangkan skim itu berbentuk sedekah membantu sesama Islam, maka di dalam surat berantai itu dijelaskan agar ia tidak diedarkan kepada orang bukan Islam. Dengan itu orang bukan Islam tidak akan memperoleh keuntungan daripada skim yang didakwa dicipta khas untuk orang Islam itu.  

Tidak kurang juga menyertainya disebabkan perasaan tamak dan mudah percaya kepada tawaran hebat. Skim itu menyebabkan ada orang begitu yakin akan kaya dengan cara itu. Mereka sanggup membuat salinan melebihi yang diarahkan agar mendapat lebih daripada itu.  

Banyak orang mudah dikuasai sikap tamak Untuk mendapat untung lebih, ada yang sanggup mengeluarkan belanja lebih mengiklankan skim itu di akhbar.  Lepas itu mereka memasang angan-angan kosong. Ada yang sudah awal-awal lagi membeli secara kredit atau sewa beli yang akan dibayar menggunakan wang yang bakal diperoleh nanti. 

Pada peringkat awal, skim ini menggunakan asas sumbangan satu ringgit. Peserta memberi sumbangan kepada peserta terdahulu yang layak secara wang pos atau kiriman wang. Biarpun jumlah sumbangan agak kecil, tetapi disebabkan pesertanya ramai, jumlah wang yang didakwa berjaya dikumpul agak besar.   

Orang menerima surat ‘tawaran’ mudah terpedaya kerana keuntungan yang dijanjikan amat lumayan, berbanding ‘modal’ yang diperlukan. 

Bagaimanapun, skim itu mula meningkatkan jumlah sumbangan antara RM10 hingga RM50 apabila menggunakan transaksi bank. Disebabkan ‘penyertaan’ bank, maka lebih mudah menperdaya orang ramai yang kononnya program itu sah di sisi undang-undang. Sedangkan sebenarnya tidak ada bank yang terlibat dalam program ini. 

Turut disertakan ialah testimoni peserta yang didakwa telah mendapat wang yang banyak melalui skim tersebut. Ini untuk menyokong keberkesanan skim tersebut agar menghilangkan keraguan penerima surat berantai itu.

Sesiapa yang menyertai program itu dianggap telah berjihad ke jalan Allah. Pahala jihad memang besar. Jadi, orang Islam mudah terpedaya jika dikaitkan dengan jihad, apatah lagi mereka juga menikmati keuntungannya. Mereka mendapat pahala jihad dan wang sekali gus.

Malah, sesiapa tidak mahu menyertai skim itu ‘diugut’ dianggap anti Islam dan tidak mahu berjihad ke jalan Allah. Mereka dikatakan kedekut dan tidak bersyukur dengan rezeki dianugerahkan Allah.

Skim ini turut menjadi pilihan mereka yang pernah tertipu dalam skim cepat kaya. Mereka ingin menjadikan skim ini sebagai penebus kerugian yang pernah dialami dalam skim cepat kaya. 

Kita tentu masih ingat mengenai skim cepat kaya yang menyebabkan banyak orang jatuh bankrap. Mereka tidak serik tertipu dengan skim cepat kaya dan mencuba cara lain pula.

Secara teorinya, jumlah wang yang dinyatakan boleh dipercayai. Secara matematik, jumlah yang dinyatakan bakal diperoleh memang tepat dan tidak perlu diragukan. 

Tetapi sebenarnya tidak berlaku begitu. Terdapat dua faktor kegagalan skim tersebut. Pertamanya penerima surat tidak menyertai kerana tidak mempercayainya. Keciciran peserta pada setiap peringkat akan mengurangkan jumlah terkumpul.

Bagaimanapun, kegagalan utama skim ini ialah para peserta menipu. Walaupun sekarang disyaratkan menyertakan fotostat slip simpanan bank, banyak yang menipu dengan cara membuat bayaran sesama sendiri dan mengubah kedudukan peserta secara tidak mengikut peraturan. 

Orang tamak memang tidak ikhlas dalam apa yang dilakukan. Mereka hanya mengharapkan keuntungan untuk diri sendiri tanpa ingin memberi kebaikan kepada orang lain.

Benarkah skim ini sebagai tujuan bantu membantu sesama Islam? Sebenarnya cara ini telah dikenalpasti dianjurkan oleh mereka yang sengaja melahirkan masyarakat yang malas bekerja tetapi ingin cepat kaya. 

Sekiranya benar ingin membantu, mengapa pula kita mengharapkan balasan yang lebih daripada apa yang kita sumbangkan. Ini mengajar sikap tidak ikhlas membantu. Apa yang jelas sebenarnya mereka yang menyertai skim itu bukan bertujuan membantu, tetapi mencari peluang untuk mendapat kekayaan dengan mudah.

Justeru, umat Islam tidak wajar menyertai apapun bentuk skim yang dijanjikan pulangan lumayan dengan hanya sedikit usaha. Alasan demi kepentingan umat Islam hanya satu pembohongan dan perangkap yang mudah mengena orang yang tamak. 

Hakikatnya, skim ini sengaja diada-adakan bagi melahirkan masyarakat yang berfikiran negatif.  Ia diumpamakan seperti satu perjudian mengharapkan satu pertaruhan sedikit untuk mendapat keuntungan yang banyak dengan hanya sedikit usaha.

Kebanyakan orang tidak menyedari dirinya telah terperangkap berkaitan surat berantai. Justeru, menjadi tanggungjawab sesama Muslim saling menasihati atau menyebarkan maklumat ini agar mengelak lebih banyak lagi menjadi mangsa.

Setiap orang perlu berusahalah mencari rezeki dengan kemampuan sendiri. Tidak ada jalan mudah untuk mendapat kemewahan. Berusahalah melakukan usaha mencari rezeki biarpun memperoleh pulangan yang sedikit. Jika dilakukan berterusan, hasil yang sedikit tetap bertambah menjadi banyak. 

Sekiranya skim surat berantai itu memang satu cara berkesan untuk membantu sesama Islam, pihak berkuasa agama atau kerajaan pasti memberi galakan. Sebaliknya, apa yang pasti, kerajaan dengan tegas berusaha membanteras skim yang telah banyak memerangkap orang ramai.

No comments:

Post a Comment