Tuesday 3 July 2018

SEJAK BILA ISLAM BERTAPAK DI KELANTAN?

Bila Islam mula bertapak di Kelantan? Tiada bukti jelas bilakah agama Islam mula bertapak dan berkembang di Kelantan. Tetapi ada pakar sejarah membuat tafsiran mengatakan agama Islam mula bertapak dan dianuti penduduk Kelantan sejak kira-kira 1180 Masihi atau 577 Hijrah.

Tafsiran tersebut dibuat berdasarkan kepada penemuan dinar emas pada tahun 1941 di kawasan bekas tapak Kota Kubang Labu yang pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Kelantan pada sekitar 1702 Masihi. 

Pada muka depan dinar tersebut tertulis perkataan Arab ‘al-Mutawakkal Allah’ yang bermaksud ‘berserah kepada Allah’. Manakala di muka belakangnya tertulis perkataan ‘al-Julus Kelantan’ bermaksud ‘Kerajaan Kelantan”.

Di bahagian atas perkataan tersebut tertulis angka Arab 0VV bermaksud 577. Angka 557 tidak dinyatakan sebagai tahun, tetapi telah ditafsir oleh ahli sejarah sebagai tahun 577 Hijrah yang bersamaan tahun 1180 atau 1881 Masihi.

Berdasarkan kepada penemuan dinar emas itu, dapat disimpulkan bahawa agama Islam telah bertapak dan dianuti rakyat Kelantan sejak abab keenam Hijrah atau abab ke 12 Masihi. 

Jika bahan sejarah ini dapat diterima sebagai bukti berkaitan penerimaan ajaran Islam di Kelantan, bermakna Kelantan lebih awal kira-kira 300 tahun daripada Melaka didatangi pendakwah Islam.

Selain bukti dinar tersebut, catatan sejarah mengenai perkembangan agama Islam di Kelantan diperolehi daripada catatan pengembaraan Ibnu Batuta, seorang pengembara Arab yang terkenal membuat catatan di setiap tempat yang disinggahi sepanjang pengambaraannya. Ibnu Batuta dipercayai telah singgah di Kelantan pada tahun 1345 Masihi.

Bagaimanapun, tiada catatan lain berkaitan perkembangan terawal Islam di Kelantan. Hanya pada sekitar tahun 1700 Masihi, agama Islam dikatakan telah berkembang pesat di Kelantan. Perkembangan tersebut dikaitkan dengan sikap pemerintah pada masa itu yang mengambil berat soal perkembangan dan pengamalan ajaran Islam di Kelantan.

Golongan pemerintah atau pihak istana telah memberi sumbangan besar dalam perkembangan agama Islam di Kelantan. Kelantan menjadi pusat perkembangan Islam di Nusantara dan diberi jolokan ‘Serambi Makkah’ yang kekal sehingga sekarang. Dengan restu dan sokongan pihak istana, usaha pengambangan ajaran Islam berjalan dengan lancar.

Dinasti Long Yunus yang diasaskan oleh Long Yunus (1775 - 1794) telah menjadikan hukum Islam sebagai teras pentadbiran. Golongan ulama dilantik menjadi penasihat kepada pihak istana dalam soal berkaitan hukum agama dan pentadbiran.

Pada zaman pemerintahan Long Yunus, telah lahir seorang ulama terkenal iaitu Tuan Sheikh Haji Ab. Halim. Beliau menjadi penasihat kepada pihak istana dan mengadakan kelas pengajian agama di istana untuk kerabat diraja dan pembesar negeri.

Beliau juga mengajar pengajian agama di Kota Lama (Kampung Sireh) dan beberapa tempat di sekitar Kota Bharu. Kampung Sireh menjadi pusat pendidikan Islam terawal di Kelantan. Institusi tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk Kelantan dan luar Kelantan.

Bermula saat itulah Kelantan mula dikenali sebagai pusat pengajian Islam terkenal di rantau ini. Ramai pelajar dari Selatan Thai, Kemboja dan Kepulauan Melayu menuntut ilmu agama di Kelantan.

Di antara tempat menuntut ilmu yang menjadi tumpuan pada masa itu ialah Masjid Tua Kampung Laut yang terletak berhampiran muara Sungai Kelantan. Kampung Laut adalah pelabuhan terawal di Kelantan yang disinggahi oleh pedagang asing. 

Masjid Tua Kampung Laut di adalah masjid kayu yang tertua di negara kita, bahkan mungkin juga di Nusantara. Masjid Tua Kampung Laut kini telah dipindahkan ke Nilam Puri sejak November 1967 setelah tapak asalnya berhampiran tebing Sungai Kelantan mengalami hakisan. Masjid Tua Kampung Laut menjadi bukti sejarah perkembangan Islam di Kelantan. 

Pada masa pemerintahan Sultan Muhammad I (1800-1835), Sheikh Haji Ab Halim telah dilantik sebagai penasihat khas baginda. Atas nasihat beliau, Sultan Muhammad I telah mengarahkan membina banyak masjid, surau dan wakaf untuk tempat beribadat dan kemudahan persinggahan.

Malah Sultan Muhammad I juga telah mengeluarkan peruntukan peribadi untuk membina rumah wakaf (kediaman) di Makkah. Ia sebagai tempat tinggal rakyat Kelantan yang belajar di sana. 

Banyak rakyat Kelantan belajar di Makkah dan apabila pulang menjadi tokoh ulama terkenal. Turut menuntut di Makkah ialah beberapa kerabat diraja.

Semasa pemerintahan Sultan Muhammad II (1839-1886), syiar Islam lebih berkembang pesat di Kelantan. Baginda telah melantik lebih ramai pegawai agama bagi menguruskan soal-soal keagamaan. Di setiap mukim dan kampung dilantik imam dan bilal untuk mengendalikan hal-ehwal agama.

Pada masa pemerintahan baginda, Masjid Kota Bharu telah didirikan pada tahun 1867 bagi menggantikan masjid lama. Masjid Kota Bharu kemudiannya muncul sebagai pusat pengajian dan keilmuan terpenting di Kelantan dan seluruh Nusantara.

Masjid Besar Kota Bharu atau kini dikenali Masjid Muhammadi mula dibina pada tahun 1921 (menggunakan batu) menggantikan bangunan kayu. Masjid tersebut siap sepenuhnya pada tahun 1931. Ia dianggap bangunan tercantik di Kota Bharu dan di antara bangunan terawal mendapat bekalan elektrik sepenuhnya.

Kewujudan Masjid Besar Kota Bharu menyerlahkan fungsi masjid sebagai pusat perkembangan ilmu. Berhampiran bangunan Masjid Besar Kota Bharu dan kawasan sekitar telah wajud beberapa pusat pengajian Islam dan pusat pentadbiran Islam.

Sultan Ahmad (1886-1889) menggantikan Sultan Muhammad II juga mengikuti usaha pemerintah sebelumnya dalam usaha mengembangkan ajaran Islam. Kelas-kelas agama dikendalikan oleh ulama terkenal semakin banyak dibuka.

Hukum potong tangan ke atas pencuri dan hukum hudud telah mula diamalkan di Kelantan pada masa pemerintahan Sultan Muhammad III (1889-1890). Hukum tersebut berterusan sehingga pemerintahan Sultan Mansor (1890-1900).

Penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) merupakan satu sejarah besar kepada pekembangan Islam di Kelantan. Ia satu bukti usaha pihak istana ingin memperkukuhkan dan menyediakan satu badan khas untuk mentadbir urusan keagamaan dan kebajikan bangsa Melayu di Kelantan.

Penubuhan MAIK dilakukan pada 24 Disember 1915 bersamaan 16 Safar 1334 dilakukan atas titah Sultan Muhammad IV (1900-1920). Dengan adanya MAIK segala urusan keagamaan dikendalikan oleh pegawai mempunyai kemahiran khusus dan sumber kewangan yang dirancang untuknya.

MAIK menerbitkan majalah Pengasuh pada 1918 yang antara lain bertujuan memudahkan usaha penyebaran pengetahuan Islam kepada rakyat. Penyunting kehormat pertama Pengasuh ialah Haji Muhammad Yusof bin Ahmad atau lebih dikenali Tok Kenali, seorang ulama tersohor Kelantan.

Pengasuh menjadi media terpenting menyebarkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mesyuarat ulama dan menjawab persoalan berkaitan agama yang dikemukakan oleh pembaca. 

Pengasuh menjadi medan perbincangan dan sumber ilmu Islam terpenting. Pengasuh masih diterbitkan sehingga sekarang dalam bentuk majalah agama lebih golbal. 

MAIK telah melalui banyak perit gentir untuk terus mengembangkan Islam di Kelantan dan memastikan Islam sebagai cara hidup rakyat Kelantan.

No comments:

Post a Comment