Friday 6 July 2018

SEJARAH KAUM YAHUDI TINGGAL DI MALAYSIA


Ramai tidak mengetahui Malaysia pernah menjadi pilihan sebilangan kaum Yahudi. Yahudi Malaysia adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada orang-orang Yahudi yang tinggal di Malaysia, atau yang berasal dari negara ini. 

Catatan sejarah mendapati sejumlah kaum Yahudi pernah hidup secara terbuka di negeri Pulau Pinang sehingga ke arah akhir 1970-an.

Kaum Yahudi juga pernah menduduki di tempat lain di negara ini terutamanya di Negeri Sembilan dan Melaka. Orang Yahudi Malaysia terdiri daripada keturunan Yahudi Sephardi yang tinggal dalam kalangan orang Kristian (orang Serani), Yahudi Mizrah (majoritinya adalah orang Yahudi Baghdadi), Yahudi Cochin dari India dan Yahudi Ashenazi

Kedatangan terawal kaum Yahudi di Tanah Melayu dipercayai bermula pada sekitar kurun ke-9 di Lembah Bujang. Pada abad ke-18, kaum ini dijumpai di Bazar Kosmopolitan, Melaka. 

Kemunculan Yahudi Baghdad di Pulau Pinang berkemungkinan besar disebabkan oleh kemajuan perniagaan dan perdagangan yang diuruskan oleh British pada sekitar kurun ke-19.

Keadaan ini telah menarik perhatian saudagar-saudagar Yahudi seperti Sassoon dan Meyers dari India. Ada juga yang mengatakan terdapat penghijrahan secara beramai-ramai orang Yahudi dari wilayah Baghdad ketika pemerintahan Daud Pasha pada tahun 1817 hingga 1831.

Orang Yahudi pertama yang telah tiba dan mendiami Tanah Melayu adalah Ezekiel Aaron Menasseh. Beliau telah berhijrah dari Baghdad pada tahun 1895. 

Menurut sumber, Manasseh mengamalkan kehidupan dan budaya Yahudi selama 30 tahun sehingga selepas Perang Dunia Pertama. Ketika itu, populasi masyarakat Yahudi yang berhijrah dan mendiami Tanah Melayu semakin meningkat.

Ketika Jepun menyerang Tanah Melayu, masyarakat Yahudi telah dipindahkan ke Singapura dan sebilangan daripada mereka telah dibunuh dan dikebumikan ketika pendudukan Jepun. 

Selepas peperangan, majoriti masyarakat Yahudi Tanah Melayu telah berhijrah ke Singapura, Australia, Israel dan Amerika Syarikat. Pada tahun 1963 hanya terdapat sekitar 20 keluarga yang tinggal di Malaysia.

Rumah ibadat Yahudi (Synagogue) di Penang terletak di no 28, Jalan Nagore telah ditutup pada tahun 1976. 

Penutupan ini adalah disebabkan masyarakat Yahudi yang pada ketika itu tidak dapat melakukan ibadat Minyan, di mana terdapat seramai 10 orang lelaki berkumpul untuk beribadat secara beramai-ramai. 

Jalan Yahudi (Jew Road) di Penang di mana terdapat majoriti masyarakat Yahudi yang mendiami kawasan tersebut telah ditukarkan nama kepada Jalan Zainal Abidin. 

Keadaan ini telah menyebabkan entiti Yahudi yang ada hilang. Kini legasi yang tinggal dari masyarkat Yahudi di Malaysia hanya Tanah Perkuburan Yahudi dan Rumah Ibadat Synagoggue yang tidak digunakan lagi.

Keturunan masyarakat Yahudi Malaysia yang tinggal kini menetap di Singapura, Australia, Kanada, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat (terutamanya di New York) dan bilangan populasi mereka sehingga kini tidak diketahui.

Majoriti masyarakat Yahudi Malaysia berkomunikasi di dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan juga ada juga yang boleh berkomunikasi di dalam bahasa Yiddish, Parsi, Hebrew dan juga Bahasa Arab.

Tanah Perkuburan Yahudi di Penang telah diwujudkan pada tahun 1805 dan adalah dipercayai merupakan tanah perkuburan Yahudi yang tertua di Malaysia. Ianya berukuran 38,087 kaki persegi dan terletak di Jalan Zainal Abidin (sebelum ini dikenali sebagai Jalan Yahudi). Jalan ini merupakan jalan kecil yang terletak di antara Jalan Burmah dan Jalan Macalister di Geroge Town. 

Kubur tertua bertarikh 9 Julai 1805 yang juga dipercayai kubur tertua di Tanah Perkuburan Yahudi itu. Kubur yang dimiliki oleh Puan Shoshan Levi. 

Dianggarkan terdapat 106 buah kubur dan kubur yang paling baru dibina adalah pada tahun 1978. Boleh dikatakan, tanah perkuburan ini dibina khusus untuk maysarakat Yahudi di sini. 

Saki baki bangsa Yahudi di Pulau Pinang sama ada memeluk Kristian atau lain telah berhijrah ke negara-negara lain, selebihnya semakin pupus dengan peningkatan sentimen anti-semitik dan dasar-dasar anti-Israel yang diperjuangkan oleh kerajaan Malaysia sejak tahun 1970-an.

No comments:

Post a Comment