Friday, 21 February 2020

Keputusan di tangan saya - Tun M


“Keputusan (peralihan kuasa) terletak di tangan saya bila saya akan lepas (jawatan Perdana Menteri),” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) pada mesyuarat Majlis Presiden malam ini, bersetuju peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dilakukan selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), November ini.

“Mereka setuju peralihan kuasa akan berlaku selepas APEC tetapi tiada masa, tarikh dan tempoh ditetapkan.

Katanya, perbincangan 'panjang lebar' telah berlangsung sepanjang mesyuarat itu bagi kepentingan parti.

"Akhirnya saya rasa bangga, semuanya diserah kepada saya, apa saya kata, mereka akan turut.

“Saya gembira, alhamdulillah akhirnya mereka meletakkan kepercayaan kepada saya,” ujarnya.

“Keputusan ditentukan saya apabila saya akan letak jawatan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada 21 Feb 2020.

Mesyuarat turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata mesyuarat panjang lebar yang berlangsung selama lebih tiga jam itu turut membincangkan mengenai masa depan parti dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

“Mesyuarat juga membincang mengenai pemilihan calon PRN Sarawak supaya tidak berlaku pertindihan calon antara parti komponen PH,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengakui perlu bersabar buat sementara waktu sehingga dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Anwar berkata, pendirian PH jelas dan tiada keraguan dari segi komitmen untuk memastikan Dr Mahathir dapat menjalankan tugas dengan dokongan yang penuh.

"Dalam perbincangan, saya sendiri cadangkan supaya Tun Dr Mahathir diberikan ruang untuk mentadbir, kemudian beliau tetapkan masa yang sesuai, itu barulah (berlaku peralihan kuasa).

"Jadi, sementara itu, saya kena sabar," katanya.

No comments:

Post a Comment