Thursday, 25 June 2020

DOAKAN ORANG LAIN, ASBAB REZEKI MELIMPAH


Kehidupan yang singkat di dunia ini adalah peluang keemasan bagi manusia untuk berbuat kebaikan sebanyak-banyaknya sebelum ajal tiba. Maka, sementara masih bernafas, sihat dan bertenaga, sama-samalah kita semua mentarbiah diri menjadi orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amal soleh, beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayt 97).

Antara kebaikan yang boleh kita lakukan ialah mendoakan kebaikan untuk orang lain. Doa itu bukan sahaja memberi kebaikan kepada orang yang didoakan, bahakan kepada diri sendiri.

Daripada Abu Darda, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Doa seorang Muslim kepada saudara Muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara Muslimnya dengan doa yang baik dan berkatalah malaikat itu, amin! engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat lain turut menyatakan, doa yang paling cepat dimakbulkan Allah ialah doa secara ghaib iaitu dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakan.


Malang sekali dalam kehidupan kita hari ini lebih banyak berlaku sebaliknya. Dalam masyarakat kita hari ini, terdapat orang yang kurang senang dengan kemajuan serta kemewahan hidup yang dikecapi oleh orang lain. Mereka bukan sahaja tidak mendoakan kebaikan, bahkan berharap kecelakaan berlaku kepada orang lain.

Sikap negatif berkenaan adalah nilai yang tidak baik dalam kerangka bersaing mencapai kecemerlangan dan membangunkan negara yang terbilang. Namun inilah antara resam dunia, apabila ada orang yang sebangsa dan seagama maju, kaya-raya dan berjaya, terus ada pemikiran negatif. Mereka mentohmah kononnya kemajuan serta kejayaan yang mereka peroleh itu hasil dari pinjaman, rasuah, tipu-daya dan sebagainya.

Tetapi ironinya, apabila bangsa lain maju, Berjaya serta kaya-raya, jarang sekali yang mempersoalkan bagaimana mereka memperolehi kelebihan tersebut.


Senario ini mengisyaratkan ada sesuatu yang tidak kena, yakni berkemungkinan hati sudah diselimuti sifat cemburu dan hasad terhadap saudara seagama yang lebih ke hadapan dalam pelbagai bidang.

Hasad berasal dari bahasa Arab yang bererti dengki, yang mana sering digabungkan menjadi hasad dengki dalam bahasa harian kita. Hasad dengki membawa maksud perasaan inginkan agar nikmat, kelebihan, kebolehan atau keistimewaan yang ada pada orang lain terhapus. Tetapi dia akan merasa gembira jika dia termasuk dalam kumpulan yang memperolehi kelebihan serta keistimewaan berkenan.

Justeru, hasad dengki adalah sifat mazmumah yang paling kerap melanda diri manusia. Dalam menghuraikan persoalan sifat yang keji ini, Imam al-Ghazali menyenaraikan tiga ciri orang yang berdengki seperti berikut:

Pertama, menginginkan agar kenikmatan atau kelebihan lenyap daripada orang lain dan mengharapkan agar kenikmatan itu berpindah kepadanya.

Kedua, menginginkan agar kelebihan yang dimiliki orang lain itu lenyap meskipun dia sendiri tidak dapat memilikinya disebabkan kekurangan pada dirinya sendiri. Yang penting baginya ialah orang itu jatuh dan hilang kelebihannya.

Ketiga, merasa sakit hati apabila orang lain melebihinya walaupun dia tidak berbuat sesuatu untuk menjatuhkannya.

Sehubungan itu, seseorang yang berpenyakit hasad dengki sentiasa gelisah atau tidak puas hati melihat apa yang dimiliki oleh orang yang didengkinya. Apabila perasaan itu tidak lagi dapat dikawal, maka si pendengki akan menyusun strategi agar hasrat buruk itu tercapai dengan apa cara sekalipun.

Dan situasi inilah yang menatijahkan gejala negatif seperti mereka-reka cerita, menfitnah, mengumpat, memaki dan sebagainya bertujuan memburuk-burukkan orang yang didengki. Malah, ada di kalangan yang dihidapi penyakit hasad itu sanggup bersekongkol dengan pihak musuh menggunakan segala cara yang ada termasuk media sosial hatta melanggani tukang-tukang sihir dan mengamalkan perbuatan keji lainnya semata-mata untuk menjatuhkan orang yang didengkinya.


Jom didik diri kita mendoakan kebaikan untuk orang lain.

Gambar sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment