Monday 9 August 2021

KITA SENDIRI HAKIS IDENTITI BAHASA MELAYU

Sambutan Tahun Baharu Hijrah 1443 menggunakan tema Manhaj rabbani, ummah berkualiti. Agaknya berapa banyak rakyat Malaysia yang faham perkataan ‘manhaj’ dan ‘rabbani’?

Kalau mereka tidak faham, bagaimana hendak melaksanakan atau mengambil maksud tema tersebut?

Memang kedua-dua perkataan tersebut telah diterima sebagai perkataan dalam bahasa Melayu apabila telah tersenarai dalam Kamus Dewan.

Namun, berapa banyak rakyat kita yang faham dengan perkataan itu? Perkataan yang digunakan sebagai tema sepatutnya mudah difahami atau mudah dihadamkan untuk diamalkan.

Perkataan manhaj boleh didefinisikan sebagai kaedah, cara atau pendekatan. Manakala perkataan rabbani pula bermaksud ketuhanan.

Maka, apa salahnya jika dipilih tema Pendekatan ketuhanan, ummah berkualiti.

Sebenarnya, bahasa Arab kini semakin perlahan-lahan menghakis identiti bahasa Melayu. Mungkin ada yang berkata tidak ada salahnya kita menggunakan bahasa Arab ini kerana ia bahasa ahli syurga.

Namun menerusi Irsyad Al-Hadith yang dikeluarkan pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat pandangan mengatakan hadis berkaitan bahasa ahli syurga adalah bahasa Arab merupakan hadis yang terlalu daif.

Ada yang berasa dirinya ‘lebih alim’ jika menggunakan bahasa Arab. Kononnya nampak lebih bijak dan hebat seperti golongan yang menggunakan perkataan bahasa Inggeris yang kononnya moden dan menaikkan darjat.

Lihat sahaja ketika tibanya bulan suci Ramadan. Kita dengan gembiranya melontarkan ucapan berbahasa Arab seperti 'Ahlan wa sahlan ya Ramadan' dan 'Marhaban ya Ramadan' kepada handai taulan kita, berbanding ucapan 'Selamat datang Ramadan' dalam bahasa Melayu.

Kita dengan cepatnya menasihatkan teman dan rakan untuk selalu 'husnuzzon' dan tidak 'suuzzon' berbanding menggunakan perkataan 'bersangka baik' atau 'bersangka buruk'.

Saat menghadiri majlis perkahwinan, kita ikhlas mendoakan pasangan pengantin untuk selalu 'sakinah, mawaddah, wa rahmah' dan bukannya 'Semoga rumah tangga yang dibina tenang, damai dan penuh cinta hingga ke anak cucu.

Kita juga lebih mudah mengucapkan istilah Arab 'husnul khatimah' berbanding 'pengakhiran yang baik' saat kita berdoa.

Sudah kehabisankah istilah bahasa Melayu sehingga kita terpaksa menggunakan istilah Arab. Cukuplah dengan istilah bahasa Arab yang sudah lama diterima dalam istilah bahasa Melayu seperti perkataan syukur, solat, taubat dan lain-lain.

Menggunakan perkataan dalam bahasa asing, sebenarnya secara tidak langsung, kita sedang memperkatakan tentang kehebatan bahasa asing sehingga kita begitu teruja untuk menggunakannya.

Sayang seribu kali sayang, peluang yang sepatutnya kita gunakan untuk memperkenalkan keindahan istilah bahasa Melayu kita, disia-siakan untuk mempromosi istilah bahasa lain pula.

No comments:

Post a Comment