Sunday 4 December 2022

SEJARAH PEMBINAAN TUGU NEGARA

 
Tugu Negara yang siap dibina pada 1966 sebagai lambang penghormatan kepada lebih 11,000 perajurit yang terkorban. Pembinaan tugu tersebut ilham Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman dan pengukir Austria, Felix de Weldon.
 
Pembinaan Tugu Negara bermula apabila Tunku Abdul Rahman melakukan lawatan rasmi pertama ke Amerika Syarikat (AS) pada 25 Oktober 1960, di mana beliau mendapat ilham apabila melihat Memorial Iwo Jima dihasilkan Felix yang dibina sempena Perang Dunia Kedua di Gunung Surabachi di Jepun.
 
Tunku berhasrat membangunkan monumen sama bagi menghargai jasa anggota tentera yang berkorban dan beliau meminta Felix membinanya bagi memperingati 12 tahun Malaya berjuang menentang komunis.
 
Beliau menerima sepucuk surat daripada Felix melampirkan lakaran tujuh patung perajurit mengikut reka bentuk diilhamkan olehnya.
 
Pada 13 Disember 1960, Tunku memanggil 24 askar dan polis pelbagai kaum serta lengkap berpakaian seragam peronda hutan serta tiga jurugambar. Foto mereka dirakam sebagai rujukan kepada Felix supaya lebih jelas mengenai gambaran sebenar Tugu Negara yang diinginkan.
 
Tunku difahamkan menjemput pereka arca itu untuk berbincang serta membuat tempahan tukang gangsa, sekali gus memutuskan penggunaan bahan granit mutiara zamrud yang digilap sebagai tapak asas pembinaan Tugu Negara.
 
Sepanjang proses pembinaan Tugu Negara, Tunku dan Felix kerap melawat tapak pembinaan berkenaan bagi memastikan proses membangunkannya lancar.
 
Setelah genap enam tahun Tugu Negara siap dibina dan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada hari ulang tahun kelahiran Tunku iaitu 8 Februari 1966.
 

No comments:

Post a Comment