Friday 26 May 2023

POKOK TAL HASILKAN NIRA

 
Pokok tal sejenis pokok palma. Nama lain pokok tal ialah pokok kelapa laut. Di Kelantan ada nama Kampung Tal Tujuh. Pokok tal juga dipanggil pokok siwalan, pokok tah dan pokok tai.
 
Satu lagi nama pokok tal yang jarang disebut ialah pokok lontar. Lambang atau logo Dewan Bahasa dan Pustaka adalah menggunakan gambar pohon lontar yang pada masa dahulu dijadikan kertas tulis. 
 
Daun tal lebih keras berbanding daun kelapa. Jadi, daun tal biasa dijadikan sebagai pelidah serunai. Pelidah juga dipanggil pipit atau lidah serunai. Daun tal juga dijadikan lingkaran untuk membentuk gula melaka, gula kabung atau gula melaka.  
 
Pokok tal merupakan sejenis tumbuhan mempunyai satu batang yang tumbuh menegak tanpa cabang seperti pokok kelapa.
 
Pokok tal boleh mencapai ketinggian maksimum 30 meter, batangnya berwarna kelabu dengan parut pangkal daun yang sudah gugur. Daun-daun pelepahnya berbentuk kipas 3 meter lebar dengan hujung berwarna kehitaman di tiap petiol.
 
Pokok tal mempunyai batang berbentuk selinder yang lebih besar dari batang kelapa. Kayu bahagian luar batang pokok tal bermutu baik dan keras digunakan sebagai bahan bangunan atau pertukangan alat.
 
Pokok jantan dan pokok betina tal wujud secara berasingan. Bunga pokok jantan berbentuk pudung lonjong setiap kuntum manakala bunga betinanya berbentuk bulat.
 
Bunga betina yang disenyawakan menghasilkan 1-3 biji buah berwarna hitam keperangan dengan ukuran 15–25 cm lebar. Isinya berserabut menutupi suatu isirung berkayu mengandungi biji benihnya.
 
Isi buah tal boleh dimakan terutamanya yang muda lembut. Rasanya enak. Selain itu, air buah tal juga boleh dijadikan bahan minuman. Isi buah yang tua juga boleh dimakan segar ataupun dimasak terlebih dahulu.
 
Pokok tal ditanam atau dibiakkan menggunakan biji benih. Benih pokok tal mencambah sangat perlahan dan menghasilkan hanya beberapa helai daun setahun.
 
Seperti pokok palma lain, pokok tal juga mengeluarkan air tuak atau air nira. Daripada air nira tal boleh dibuat manisan atau dipanggil nise tal atau gula tal.

Isi buah tal rasanya hampir sama dengan isi kelapa muda tapi teksturnya lebih kenyal. Selain dimakan segar, isinya boleh dijadikan jus. Hiris isi tal nipis-nipis dan masak bersama gula. Boleh dicampur madu dan ais untuk menambahkan lagi keenakan rasanya.
 
Khasiat buah tal:
- Melegakan kesakitan hempedu dan limpa.
- Mengatasi masalah kencing tak terkawal.
- Menyegarkan nafas, menyihatkan gigi dan gusi.
- Mengatasi masalah pernafasan dan paru-paru.
- Mengubati luka-luka.

No comments:

Post a Comment