Friday 29 September 2023

KHASIAT BUAH NONA KAMPUNG

 
Buah nona memang banyak terdapat di kampung. Ia ditanam untuk mendapat buah dan juga sebagai pokok hiasan kerana buahnya agak “menarik” dan berlainan dengan buah-buah tempatan lain.
 
Buah nona atau seri kaya (nama saintifik: Annona squamosa) adalah dari genus Annona. Buahnya ada kulit yang berbonggol dan mempunyai banyak biji.
 
Terdapat berbagai jenis nona, antaranya yang mempunyai kulit bewarna hijau atau merah. Pokoknya merupakan pokok renak 6-8 meter tinggi. Daunnya berselang dan ringkas.
 
Buah nona biasanya bulat atau bujur, berbonggol-bonggol, 6-10 cm keratan rentas dan seberat 100-230 grm. Isi buah boleh dimakan, putih sehingga kuning cair, menyerupai dan rasa seperti kastad.
 
Buah yang sedap dimakan. Rasa sedikit berpasir macam buah ciku tapi sungguh nyaman di dalam mulut. Rasanya manis.
 
Buah dipetik apabila sudah matang. Kalau kulitnya sudah lembut, isinya boleh terus dimakan. Tetapi, biasanya buah yang dipetik belum lembut kulit dan isinya. Ia bertujuan untuk mengelak ia menjadi “lebu” dan gugur sendiri. Buah akan rosak.
 
Ia juga dipetik awal sebelum menjadi perhatian tupai dan hidupan lain yang juga suka makan buah nona.
 
Buah yang belum masak sepenuhnya perlu terlebih dahulu diperam sebelum boleh dimakan.
 
Biji nona tersebar dalam isi buah, berwarna perang hingga hitam dengan panjang 12-18 mm, dan keras berkilat.

Buah nona ada kandungan niacin cukup tinggi untuk seimbangkan kolesterol. Ia juga tinggi serat. Bagus untuk kawal paras gula dan tekanan darah.

Buah nona menjadi sumber terbaik mineral dan vitamin yang diperlukan untuk fungsi badan yang sihat.
- Vitamin C
- Karbohidrat
- Serat fiber
- Protein
- Thiamine (B1)
- Zink
- Riboflavin (B2)
- Potassium
- Niacin (B3)
- Phosphorus
- Pantothenic acid (B5)
- Manganese
- Kalsium
- Vitamin B6
- Folate (B9)
- Zat besi
- Magnesium


No comments:

Post a Comment