Thursday 14 September 2023

KELANTAN PENGELUAR UTAMA MUSANG KING

 
Negeri Kelantan bakal menjadi pengeluar durian musang king terbesar di Malaysia. Banyak kawasan di negeri tersebut kini diteroka atau diusahakan sebagai ladang durian musang king berskala besar.
 
Malah, Kelantan merekodkan sejarah baharu apabila memiliki ladang durian Musang King terbesar di negara ini yang berkeluasan hampir 3,000 hektar di kawasan Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan.
Ladang yang dimiliki Sindiyan Plantation Sdn Bhd (Sindiyan) telah menerima pengiktirafan ‘Malaysia Book Of Records’ yang dinobatkan sebagai ladang durian Musang King terbesar di Malaysia. Majlis penyampaian pengiktirafan telah disampaikan pada 14 September 2023 di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang. Majlis telah dihadiri Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Fadzli Hassan.
Ladang milik Sindiyan Plantation Sdn Bhd (Sindiyan) itu dilihat mampu membawa nama Kelantan di pentas luar negara terutama Asia sebagai pengeluar utama Musang King pada masa hadapan.
Ladang Sindiyan mempunyai lebih 200,000 pokok durian. Projek dimulakan sejak tahun 2016. Usahasama Ladang Sindiyan dan Syarikat Hernan Corporation Sdn Bhd menyasarkan untuk menghasilkan 60,000 tan metrik durian setiap tahun.
Satu lagi projek penanaman durian yang berstatus mega ialah Projek Ladang Hutan Pelbagai Spesis dan Spesis Durian di dalam tanah seluas 890 hektar di Hutan Simpan Kekal Sungai Durian.
Projek penanaman itu melibatkan Li Yongbo, pemain badminton terkenal dari China yang bertindak sebagai pelabur dalam projek tersebut.
Kerajaan Kelantan telah memberi kelulusan kepada dua syarikat itu pada 7 Mei 2015 dan 15 April 2018 untuk pembangunan Projek Ladang Hutan Getah Klon Balak.
Manakala pada 21 Mei 2020, kerajaan negeri telah memberi kelulusan permohonan Projek Ladang Hutan Pelbagai Spesis kepada Projek Ladang Hutan Pelbagai Spesis dan Spesis Durian.
Kelulusan tersebut dengan menetapkan keluasan penanaman spesies durian yang dibenarkan hanya 30 peratus daripada 350 hektar dan 404 hektar daripada keluasan yang diluluskan kepada dua syarikat tersebut.
Selain ladang berstatus mega, banyak kawasan di Kelantan, terutama di hulu Kelantan yang dijadikan sebagai ladang durian musang king sama ada diusahakan oleh syarikat mahupun orang perseorangan.
Usaha yang dilakukan itu mampu melonjakkan Kelantan sebagai pengeluar durian musang king utama di Malaysia.
Kelantan miliki ladang durian musang king terbesar di Malaysia

No comments:

Post a Comment