Monday 23 October 2023

IKHLAS BERMULA DENGAN NIAT

Ikhlas adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Sifat ikhlas membuatkan seseorang melakukan sesuatu perkara berdasarkan apa yang sepatutnya dilakukan, terutama dalam hubungan kita dengan Allah. 
 
Lawan bagi ikhlas ialah sesuatu yang bergilir-gilir berada di hati manusia yang mana ia berkaitan dengan niat. Apabila niatnya sudah bercampur-campur dengan sesuatu yang lain, maka ia tidak dianggap ikhlas lagi dan dianggap riyak.
 
Imam al-Ghazali berpandangan bahawa ikhlas yang sebenar-benarnya ialah individu tersebut tidak menjadi hamba kepada diri dan nafsunya sebaliknya mengabdikan diri kepada Allah SWT.
 
Ia istiqamah mematuhi segala perintah yang diputuskan oleh Allah SWT dalam beribadat kepada-Nya. Ini menunjukkan bahawa ia telah memisahkan dirinya dari segala yang selain daripada-Nya.
 
Maka, dapat difahami dari pandangan Imam al-Ghazali ini bahawa antara ciri-ciri yang bertentangan dengan al-ikhlas ialah tidak ikhlas, riyak, ujub dan mementingkan hawa nafsu.
Sesuatu perbuatan dikira ibadat dan memberi kebaikan di akhirat jika dilakukan dengan ikhlas.
 
Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat ikhlas. Firman Allah bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5).
 
Keikhlasan sebenarnya bergantung kepada apa yang tersimpan di dalam hati. Ia mempunyai kaitan rapat dengan niat. Hati yang ikhlas sentiasa menyimpan niat yang baik setiap apa yang dilakukan. 

Tiada perbuatan yang didasarkan dengan ikhlas yang akan membawa kepada keburukan. Sebab itu, setiap amalan ditentukan pahala jika dilakukan dengan ikhlas.   
 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu tetapi Dia hanya memandang kepada hati sanubari kamu.”  (Hadis riwayat Muslim).

Memang sukar untuk menilai keikhlasan seseorang, kerana apa yang diucapkan dan dilakukan belum tentu sama dengan apa yang tersimpan di dalam hatinya. 

Banyak orang sekadar mengucapkan pengakuan ikhlas di mulut, tetapi tidak di hati. Apa yang dilakukan sekadar berpura-pura untuk mendapat apa yang diingini.  
 
Namun begitu Allah tetap mengetahui apa yang tersimpan di dalam hati setiap manusia. Firman Allah bermaksud: “Katakanlah, jika sekalipun kamu sembunyikan atau kamu terangkan apa yang di dalam hatimu itu, nescaya Allah mengetahuinya.” (Surah Ali Imran, ayat 29).

No comments:

Post a Comment