Sunday 29 October 2023

SULTAN MUHAMMAD V RAJA KELANTAN 2010

 
Sultan Muhammad V diputerakan pada 6 Oktober 1969. Baginda adalah putera kepada pasangan Sultan Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra dan Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid. Diputerakan sebagai Tengku Muhammad Faris Petra bin Tengku Ismail Petra.
 
Baginda mendapat pendidikan awal di Fatima Convent kindergarten dan Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail Satu, Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran baginda di Alice Smith School, Kuala Lumpur.
 
Baginda kemudian berangkat ke England bagi menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga tahun 1989. Seterusnya Baginda melanjutkan pengajian di Kolej St Cross, Oxford dan Pusat Oxford untuk Pengajian Islam untuk kajian diplomatik. Baginda menamatkan pengajian pada tahun 1991.
 
Banginda terlibat dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan dan juga aktif berperanan dalam organisasi berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraan. Baginda telah dilantik sebagai Komander Rejimen 506 Askar Wataniah berpangkat Brigedier Jeneral. Baginda juga adalah Kolonel Yang Dipertua Rejimen Artileri Diraja dan Kor Risik Diraja.
 
Pada 23 November 2022, baginda dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Istiadat Pemasyhuran Canselor, Pro-Canselor & Konvokesyen ke-12 UMK di UMK Bachok.
 
Tengku Muhammad Faris Petra telah dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan Baginda yang ke-16 iaitu pada 6 Oktober 1985.
 
Pada 25 Mei 2009, baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan, setelah ayahanda baginda Sultan Ismail Petra mendapat rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.  
 
Pada 13 September 2010, baginda telah diisytiharkan sebagai Al-Sultan Kelantan ke-29, mengikut Perkara 29A Perlembagaan Negeri yang menyatakan bahawa Sultan tidak boleh lagi menjadi raja jika baginda tidak berdaya maju memerintah selama tempoh lebih daripada satu tahun. Baginda mengambil nama Sultan Muhammad V.
 
Sultan Muhammad V telah menghadiri Mesyuarat ke-222 Majlis Raja-Raja buat kali pertamanya sebagai ahli penuh pada bulan Oktober 2010. Ini menandakan pengiktirafan kesertaan sebagai Sultan oleh raja-raja lain.
 
Pada 14 Oktober 2016, Mesyuarat Majlis Raja-raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara telah memilih baginda untuk dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15 selepas tamatnya penggal Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah memegang tampuk negara. Pemasyhuran itu berkuat kuasa 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.
 
Pada 24 April 2017, baginda telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15 dalam upacara penuh adat istiadat yang diadakan di Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada usia 47 tahun.
 
Pada 6 Januari 2019, baginda telah turun takhta kerajaan persekutuan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15.

No comments:

Post a Comment