Thursday 8 August 2024

KAMPUNG BERTAM BARU, GUA MUSANG

 
Kampung Bertam Baru berada di tebing Sungai Nenggiri, dalam jajahan Gua Musang, Kelantan. Dinamakan Kempung Bertam Baru kerana ada sebuah kampung di seberang Sungai Nenggiri bersetentang dengan kampung tersebut ialah Kampung Bertam yang wujud lebih awal lagi.
 
Jarak Kampung Bertam Baru dengan bandar terdekat iaitu Gua Musang adalah kira-kira 50 kilometer (km) dan sekitar 170 km dari Kota Bharu.
 
Sejarah Kampung Bertam Baru wujud atau ditubuhkan pada zaman darurat. Kegiatan pengganas komunis yang mengganggu keselamatan penduduk menyebabkan pihak pemerintah mengumpulkan keluarga yang sebelum itu tinggal di kawasan terpencil jauh dari penempatan lain di satu kawasan khas untuk memudahkan kawalan keselamatan.
 
Pada peringkat awal, sebanyak 20 keluarga ditempatkan di satu kawasan yang kini dikenali Kampung Bertam Baru. Kawasan kampung itu dipagar atau dikelilingi dengan kawat berduri sebanyak dua lapisan.
 
Selari dengan perkembangan semasa, Kampung Bertam Baru terus menikmati kemudahan asas seperti sekolah kebangsaan, balai polis, Taman Bimbingan Kanak-kanak Kemas, balai raya, pejabat kerajaan dan sebagainya.
 
Di Kampug Bertam Baru juga terdapat stesen kereta api yang dikenali Stesen Bertam yang menjadi nadi pengangkutan kepada penduduk KampungBertam Baru.
 
Jambatan Bertam yang siap pada 2022 menjadi kemudahan penting menghubungkan penduduk dengan kawasan lain di kampung-kampung di seberang Sungai Nenggiri seperti Kampung Jerek, Kampung Meranto dan seterusnya ke Dabong, Jeli dan sebagainya.
 
Kampung-kampung yang berada di sekitar dan berdekatan dengan Kampung Bertam Baru ialah Kampung Bertam Lama, Kampung Jerek Baru, Kampung Limau Kasturi, Kampung Pasir Tumboh, Kampung Kuala Sungai dan Kampung Jelekang.
 
Balai Polis Bertam Baru

Stesen Bertam Baru

No comments:

Post a Comment