Tuesday 3 September 2024

TUJUAN MELETAKKAN BENDA HIDUP DI ATAS KUBUR

 
Daripada Ibn Abbas ketika berjalan melewati dua kubur yang penghuninya sedang diseksa, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksu: “Sesungguhnya kedua-duanya sedang diseksa, dan tidaklah keduanya diseksa disebabkan berbuat dosa besar. Yang satu diseksa kerana tidak bersuci setelah kencing sedang yang satunya lagi kerana selalu mengadu domba.
 
“Kemudian baginda mengambil sebatang dahan kurma yang masih basah daunnya lalu membelahnya menjadi dua bahagian kemudian menancapkannya pada masing-masing kuburan tersebut. Mereka (para sahabat) bertanya: "Kenapa anda melakukan ini?.
 
“Baginda menjawab: “Semoga diringankan (seksaannya) selama batang pohon ini basah”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
Imam Ibn Hajar al-Asqalani berkata dalam Fath al-Bari (1/320): Al-Maziri berkata: Hadis ini memiliki kemungkinan bahawa Baginda diwahyukan berkenaan azab akan diringankan ke atas mereka berdua selama tempoh tersebut. Berkata Ibn Hajar: “Justeru, mungkin ini untuk mencari ilat.”
 
Imam al-Qurtubi berpandangan: “Jika turun wahyu, nescaya tidaklah digunakan huruf al-tarajji (yakni semoga). Terdapat pendapat bahawa baginda memberi syafaat kepada mereka berdua, seperti mana dalam hadis Jabir, kerana zahirnya kisah tentang hal ini hanya satu.”
 
Imam al-Nawawi merajihkan kisahnya hanya satu sahaja, tetapi Ibn Hajar mengkritiknya.
Al-Khattabi berkata: “Hadis ini berkemungkinan maksudnya bahawa baginda berdoa untuk kedua-duanya supaya diringankan azat selama mana masih terdapat kesegaran padanya, bukan pada pelepah itu ada suatu makna (fungsi) khusus, dan bukan juga pada benda yang masih lembab itu ada suatu makna yang mengatasi benda yang sudah kering.”
 
Berkata Ibn Hajar: “Mungkin makna itu ialah benda itu bertasbih selama mana masih lembab, lalu terhasillah peringanan azab dengan berkat tasbih itu. Justeru, makna ini boleh diletakkan pada setiap benda yang mempunyai kelembapan, daripada jenis tumbuhan, atau selainnya, dan boleh juga diletakkan pada perkara yang mempunyai keberkatan seperti zikir, membaca al-Quran, bahkan itu lebih utama.”
 
Al-Tibi berkata: “Hikmah pada peletakan dua pelepah itu selama mana kedua-duanya masih lembab bahawa ia akan menghalang azab memiliki kemungkinan bahawa itu tidak diketahui oleh kita seperti bilangan malaikat Zabaniah.”
 
Oleh itu, Al-Khattabi, dan ulama yang mengikutinya, mengingkari perbuatan orang ramai yang meletakkan pelepah tamar di atas kubur kerana mengikut hadis ini. Berkata al-Tortusyi: Ini kerana hal demikian hanya khusus dengan keberkatan pada tangan Baginda
 
Al-Qadhi Iyadh juga berkata: Ini kerana Baginda meletakkan ilat pada menancap kedua-dua pelepah itu di atas kubur berdasarkan perkara yang ghaib, daripada sabda baginda bahawa “kedua-duanya sedang diseksa”.
 
Ibn Hajar menjawab: “Tidak semestinya kalau kita tidak tahu sama ada seseorang itu diazab atau tidak maka kita tidak boleh mendatangkan sebab untuk meringankan azan daripada seseorang itu jika dia diazab, seperti mana kita tidak tahu seseorang itu dirahmati atau tidak, maka kita tidak dihalang untuk mendoakannya untuk mendapat rahmat. Tiada dalam konteks hadis, apa-apa yang boleh memastikan bahawa baginda meletakkan dengan tangannya yang mulia secara langsung, bahkan ada kemungkinan baginda menyuruh orang lain untuk meletakkan [Rujuk jua Umdah al-Qari (3/121) oleh Syeikh Badruddin al-Aini]. Ini dikuatkan dengan perbuatan Buraidah bin al-Husaib, seorang sahabat baginda yang berwasiat agar diletakkan di atas kuburnya dua pelepah tamar. itu yang lebih utama untuk diikuti daripada selainnya.”
 
Berkata Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim (3/202): “Adapun perbuatan baginda meletakkan dua pelepah tamar di atas kubur, maka berkata para ulama, hal itu berkemungkinan kerana baginda memohon syafaat bagi mereka berdua lalu dimustajabkan syafaatnya dengan diringankan azab daripada mereka berdua sehingga dua pelepah itu kering.
 
Imam Muslim telah menyebutkan pada akhir kitab tentang suatu hadis yang panjang yakni hadis Jabir tentang dua orang pemilik kubur “aku suka agar dengan syafaatku, akan diangkat azab keduanya selama kedua dahan itu masih basah.”
 
Dikatakan, berkemungkinan baginda mendoakan kedua-duanya selama waktu tersebut. Dikatakan juga, kerana keadaan kedua-dua pelepah itu bertasbih selama mana masih lembab dan benda yang kering tidak bertasbih.
 
Inilah pendapat ramai ulama, atau majoriti ahli tafsir pada firman Allah SWT yang bermaksud  “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Isra, ayat 44)
 
Para ulama berkata “dan tiada sesuatupun” bermaksud yang hidup. Mereka berkata lagi kehidupan setiap benda itu bergantung kepada keadaannya. Maka hidupnya kayu selama mana belum kering, batu selama mana tidak pecah.
 
Para muhaqqiq dari kalangan ahli tafsir berpendapat bahawa hal itu boleh pada makna umum. Dan mereka berbeza pendapat, apakah tasbih tersebut tasbih secara hakikat atau sebagai bukti adanya Pencipta, maka jadilah ia yang bertasbih dan mensucikan pada bentuk kejadiannya. Para muhaqqiq dari kalangan ahli tafsir memilih bahawa itu adalah tasbih yang sebenarnya, secara hakikat. 
 
Apabila akal fikiran tidak sampai pada memahami perbezaan makna pada masalah tersebut, dan terdapat nas yang menjelaskan, maka wajib kembali kepada nas. Para ulama juga mengatakan sunat untuk membaca al-Quran di sisi kubur berdasarkan hadis ini kerana jika diharapkan peringanan azab daripada tasbih pelepah nescaya bacaan al-Quran lebih utama.”

Kredit penulis asal.

No comments:

Post a Comment