Friday, 25 September 2020

LARANGAN MEMBUANG SAMPAH DI TEMPAT AWAM

Larangan membuang sampah di tempat tertentu ada sebabnya. Antaranya mungkin kerana tempat tersebut tidak disenaraikan sebagai tempat membuang sampah oleh pihak berkuasa. Ini bermakna sampah-sampah yang dibuang di situ tidak akan diangkut oleh pihak berkuasa. 

Jadi, sampah yang dibuang di situ akan mencemarkan kawasan dan mendatangkan banyak masalah kepada penduduk berhampiran. Bayangkan apakah perasaan jika di kawasan berhampiran rumah kita di jadikan tempat longgokan sampah oleh orang lain. Perkara itu boleh menimbulkan perbalahan dan perpecahan di kalangan masyarakat.

Memang setiap orang ingin hidup dalam keadaan bersih dan tenteram. Sebaliknya jika ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata sudah pasti mendatangkan banyak masalah yang merugikan semua pihak. 

Sesuatu malapetaka yang berlaku tidak mengenai individu atau puak tertentu sahaja, sebaliknya semua yang berada di tempat itu. Malapetaka itu merupakan balasan daripada agar manusia insaf dan menyedari kesalahan yang dilakukan.

Perkara ini dinyatakan oleh Allah dalam surah Antara-Rum ayat 41 bermaksud: “Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut, disebabkan usaha tangan manusia, kerana Tuhan hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali.”

Justeru, sekiranya didapati ada pihak melakukan perbuatan menyebabkan pencemaran alam sekitar perlu ditegah dengan segera. Jika tidak mampu dilakukan secara terus kepada pihak yang melakukannya, maka perlulah dilaporkan kepada pihak berkuasa agar perkara tersebut dapat dicegah secara undang-undang.

Sikap tidak mengambil kisah apa orang lain lakukan sebenarnya merugikan diri sendiri. Pencemaran yang dilakukan itu mendatangkan keburukan kepada semua, bukan sahaja kepada manusia, bahkan kepada seluruh hidupan lain. 

Pencemaran sungai bukan sahaja menyebakban air tidak selamat digunakan oleh manusia, tetapi juga hidupan air seperti ikan, udang, ketam, kerang dan sebagainya. Sekiranya hidupan tersebut mati, maka sumber makanan manusia berkurangan dan yang menanggung kerugian ialah manusia.

Allah telah menatapkan aturan alam ini dengan selengkapnya untuk kebaikan manusia. Firman Allah bermaksud: “Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya. Dan Dia meletakkan gunung-ganang di permukaan bumi agar bumi tidak menggoyangkan kamu. Dan Dia membiakkan di bumi segala macam jenis binatang. Dan Kami turunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumnbuhan yang baik.” (Surah Lukman, ayat 10).

Sesungguhnya Allah tidak mengalami apa-apa kerugian dengan sikap tidak bertanggungjawab manusia. Namun Allah sentiasa memberi peluang kepada manusia agar memperbetulkan kesalahan yang dilakukan.

Perkara ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan setiap nasib buruk yang menimpa kamu adalah disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri, dan Tuhan memaafkan sebahagian besarnya.” (Surah asy-Syura, ayat 30).

No comments:

Post a Comment