Thursday, 15 October 2020

MENCURI PEBUATAN ZALIM TERHADAP DIRI SENDIRI

Mencuri adalah mengambil milik orang lain secara tanpa diketahui pemiliknya atau izin. Setiap orang yang berakal pasti akan sepakat bahawa mencuri adalah perbuatan jahat dan zalim terhadap pemilik barang itu. Tiada seorangpun suka miliknya diambil tanpa pengetahuan dan izinnya.

Oleh itu Islam menetapkan larangan mencuri harta orang lain. Bahkan ia termasuk dosa besar dan kezaliman yang nyata. Hukuman terhadap pencuri ialah potong tangan. 

Firman Allah bermaksud: “Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (QS. Al Maidah: 38).

Dalam ayat ini, Allah SWT menetapkan hukuman hudud bagi pencuri adalah dipotong tangannya. Ini menunjukkan bahawa mencuri adalah dosa besar.

Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin mengatakan: Dosa besar adalah yang Allah ditetapkan dengan suatu hukuman khusus. Maksudnya perbuatan tersebut tidak sekadar dilarang atau diharamkan, namun ditetapkan dengan suatu hukuman khusus. Semisal disebutkan dalam dalil ‘barangsiapa yang melakukan ini maka ia bukan mukmin’, atau ‘bukan bahagian dari kami’, atau semisal dengan itu. Ini adalah dosa besar. Dan dosa kecil adalah dosa yang tidak ditetapkan dengan suatu hukuman khusus. (Fatawa Nurun ‘alad Darbi libni Al-‘Utsaimin, 2/24, Asy-Syamilah).

Manakala Ibnu Shalah mengatakan: Dosa besar ada beberapa tanda, di antaranya diwajibkan hukuman hudud kepadanya, juga ditetapkan dengan azab neraka atau semisalnya, di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Demikian juga, pelakunya disifati dengan kefasikan dan laknat. (Tafsir Ibnu Katsir, 2/285).

Pencuri juga dilaknat oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Allah melaknat pencuri yang mencuri sebutir telur, lalu pada waktu lain dia dipotong tangannya kerana mencuri tali.” (Hadis riwayat Bukhari no. 6285).

Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin menjelaskan: “Maksud hadis ini adalah seorang yang mencuri telur lalu dia menganggap remeh perbuatan tersebut sehingga kemudian dia mencuri barang yang melewati nishab hudud pencurian, sehingga ia dipotong tangannya” (Syarhul Mumthi‘, 14/336-337).

Dan secara umum mencuri termasuk perbuatan mengambil harta orang lain dengan cara batil. Padahal harta seorang Muslim itu haram.

Rasulullah SAW bersabda:  “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan atas sesama kalian darah kalian (untuk ditumpakan) dan harta kalian (untuk diramps) dan kehormatan (untuk dirosak). Sebagaimana haramnya hari ini, haramnya bulan ini dan haramnya negeri ini” (Hadis riwayat Bukhari no. 1742).

Dan mencuri juga termasuk perbuatan zalim. Padahal Allah SWT berfirman: “Ingatlah, laknat Allah (ditimpakan) atas orang-orang yang zalim” (Sudah Hud, ayat 18).

Satu lagi firman Allah SWT bermaksud: “Dan begitulah azab Tuhanmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu adalah sangat pedih lagi keras.” (Surah Hud, ayat 102).

Firman Allah dalam suah Al-Anam ayat 21 bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak mendapat keberuntungan”

Jelas sekali perbuatan mencuri ada seburuk-buruk perbuatan yang menyebabkan pelakunya mendapat balasan buruk di dunia dan akhirat. 

No comments:

Post a Comment