Thursday, 2 December 2021

LIDAH UMPAMA SEPERTI BINATANG BUAS

 
Seorang pemikir Islam, Ibnu Thaus mengumpamakan lidahnya seperti binatang buas yang jika dilepas bebas nescaya akan memakan dirinya sendiri. Maka, harus lidah itu dijaga dengan sebaik-baiknya agar tidak terlepas kata yang membinasakan diri sendiri.

Menjaga lidah daripada bercakap memang satu tugas berat. Bidalan ada menyebut bahawa ‘lidah tidak bertulang’, menjelaskan betapa sukar mengawal lidah yang mudah bercakap apa sahaja perkataan.

Sebab itu soal menjaga mulut perlu diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Menjaga mulut disamakan seperti menjaga agama. Percakapan menjadi lambang peribadi umat Islam yang mementingkan pekerti mulia. Setiap tutur kata mempunyai nilai.   

Antara perkara yang perlu kita berdiam diri ialah memperkatakan tentang keaiban kawan. Kita tidak wajar memperkatakan keaiban kawan, biarpun ketika berada di hadapannya, maupun ketika ketiadaannya bersama-sama. Cara itu bertujuan mengelak salah faham, mungkin mengakibatkan perbalahan. 

Perpecahan di kalangan umat Islam dapat melemahkan kesatuan dan kekuatan. Keadaan ini dengan mudah digunakan oleh musuh Islam untuk memburuk-burukkan Islam. Mereka dengan mudah menggunakan isu perpecahan umat Islam sebagai menunjukkan kelemahan ajaran Islam. 

Yakinlah, Islam agama kebaikan. Tidak ada satupun ajaran Islam mengajar kepada keburukan. Keburukan dan kelemahan itu dilakukan oleh umat Islam yang sifat imannya masih lemah dan kurang penghayatan kepada ajaran Islam. Ini termasuklah suruhan menjaga mulut yang kurang diambil perhatian oleh individu Islam. 

Kata bijak pandai, diam itu adalah bijaksana. Ungkapan itu di atas dasar lebih baik diam daripada berkata-kata.

Berhati-hati dalam berkata-kata kerana takut perkataan diucapkan akan melukakan hati seseorang sepanjang hayat.

Dalam hal ini kita perlu memahami maksud menjaga kata-kata dan diam itu adalah untuk mengelak keburukan.

Gambar hiasan: Suasana di Jeti Pulau Seratus, delta Sungai Kelantan.

No comments:

Post a Comment