Daripada Ibn Abbas ketika berjalan melewati
dua kubur yang penghuninya sedang diseksa, bahawa Nabi SAW bersabda yang
bermaksu: “Sesungguhnya kedua-duanya sedang diseksa, dan tidaklah keduanya
diseksa disebabkan berbuat dosa besar. Yang satu diseksa kerana tidak bersuci
setelah kencing sedang yang satunya lagi kerana selalu mengadu domba.
“Kemudian baginda mengambil sebatang dahan
kurma yang masih basah daunnya lalu membelahnya menjadi dua bahagian kemudian
menancapkannya pada masing-masing kuburan tersebut. Mereka (para sahabat)
bertanya: "Kenapa anda melakukan ini?.
“Baginda menjawab: “Semoga diringankan
(seksaannya) selama batang pohon ini basah”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Imam Ibn Hajar al-Asqalani berkata
dalam Fath al-Bari (1/320): Al-Maziri berkata: Hadis ini memiliki kemungkinan
bahawa Baginda diwahyukan berkenaan azab akan diringankan ke atas mereka berdua
selama tempoh tersebut. Berkata Ibn Hajar: “Justeru, mungkin ini untuk mencari
ilat.”
Imam al-Qurtubi berpandangan: “Jika turun
wahyu, nescaya tidaklah digunakan huruf al-tarajji (yakni semoga). Terdapat
pendapat bahawa baginda memberi syafaat kepada mereka berdua, seperti mana
dalam hadis Jabir, kerana zahirnya kisah tentang hal ini hanya satu.”
Imam al-Nawawi merajihkan kisahnya hanya satu
sahaja, tetapi Ibn Hajar mengkritiknya.
Al-Khattabi berkata: “Hadis ini berkemungkinan maksudnya bahawa baginda berdoa untuk kedua-duanya supaya diringankan azat selama mana masih terdapat kesegaran padanya, bukan pada pelepah itu ada suatu makna (fungsi) khusus, dan bukan juga pada benda yang masih lembab itu ada suatu makna yang mengatasi benda yang sudah kering.”
Berkata Ibn Hajar: “Mungkin makna itu ialah
benda itu bertasbih selama mana masih lembab, lalu terhasillah peringanan azab
dengan berkat tasbih itu. Justeru, makna ini boleh diletakkan pada setiap benda
yang mempunyai kelembapan, daripada jenis tumbuhan, atau selainnya, dan boleh
juga diletakkan pada perkara yang mempunyai keberkatan seperti zikir, membaca
al-Quran, bahkan itu lebih utama.”
Al-Tibi berkata: “Hikmah pada peletakan dua
pelepah itu selama mana kedua-duanya masih lembab bahawa ia akan menghalang
azab memiliki kemungkinan bahawa itu tidak diketahui oleh kita seperti bilangan
malaikat Zabaniah.”
Oleh itu, Al-Khattabi, dan ulama yang
mengikutinya, mengingkari perbuatan orang ramai yang meletakkan pelepah tamar
di atas kubur kerana mengikut hadis ini. Berkata al-Tortusyi: Ini kerana hal
demikian hanya khusus dengan keberkatan pada tangan Baginda
Al-Qadhi Iyadh juga berkata: Ini kerana
Baginda meletakkan ilat pada menancap kedua-dua pelepah itu di atas kubur
berdasarkan perkara yang ghaib, daripada sabda baginda bahawa “kedua-duanya
sedang diseksa”.
Ibn Hajar menjawab: “Tidak semestinya kalau
kita tidak tahu sama ada seseorang itu diazab atau tidak maka kita tidak boleh
mendatangkan sebab untuk meringankan azan daripada seseorang itu jika dia
diazab, seperti mana kita tidak tahu seseorang itu dirahmati atau tidak, maka
kita tidak dihalang untuk mendoakannya untuk mendapat rahmat. Tiada dalam
konteks hadis, apa-apa yang boleh memastikan bahawa baginda meletakkan dengan
tangannya yang mulia secara langsung, bahkan ada kemungkinan baginda menyuruh
orang lain untuk meletakkan [Rujuk jua Umdah al-Qari (3/121) oleh
Syeikh Badruddin al-Aini]. Ini dikuatkan dengan perbuatan Buraidah bin
al-Husaib, seorang sahabat baginda yang berwasiat agar diletakkan di atas
kuburnya dua pelepah tamar. itu yang lebih utama untuk diikuti daripada
selainnya.”
Berkata Imam al-Nawawi dalam Syarh
Sahih Muslim (3/202): “Adapun perbuatan baginda meletakkan dua pelepah
tamar di atas kubur, maka berkata para ulama, hal itu berkemungkinan kerana
baginda memohon syafaat bagi mereka berdua lalu dimustajabkan syafaatnya dengan
diringankan azab daripada mereka berdua sehingga dua pelepah itu kering.
Imam Muslim telah menyebutkan pada akhir
kitab tentang suatu hadis yang panjang yakni hadis Jabir tentang dua orang
pemilik kubur “aku suka agar dengan syafaatku, akan diangkat azab keduanya
selama kedua dahan itu masih basah.”
Dikatakan, berkemungkinan baginda mendoakan
kedua-duanya selama waktu tersebut. Dikatakan juga, kerana keadaan kedua-dua
pelepah itu bertasbih selama mana masih lembab dan benda yang kering tidak
bertasbih.
Inilah pendapat ramai ulama, atau majoriti
ahli tafsir pada firman Allah SWT yang bermaksud “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian
makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada
sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham
akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.”
(Surah al-Isra, ayat 44)
Para ulama berkata “dan tiada sesuatupun”
bermaksud yang hidup. Mereka berkata lagi kehidupan setiap benda itu bergantung
kepada keadaannya. Maka hidupnya kayu selama mana belum kering, batu selama
mana tidak pecah.
Para muhaqqiq dari kalangan ahli tafsir berpendapat
bahawa hal itu boleh pada makna umum. Dan mereka berbeza pendapat, apakah
tasbih tersebut tasbih secara hakikat atau sebagai bukti adanya Pencipta, maka
jadilah ia yang bertasbih dan mensucikan pada bentuk kejadiannya. Para muhaqqiq
dari kalangan ahli tafsir memilih bahawa itu adalah tasbih yang sebenarnya,
secara hakikat.
Apabila akal fikiran tidak sampai pada
memahami perbezaan makna pada masalah tersebut, dan terdapat nas yang
menjelaskan, maka wajib kembali kepada nas. Para ulama juga mengatakan sunat
untuk membaca al-Quran di sisi kubur berdasarkan hadis ini kerana jika
diharapkan peringanan azab daripada tasbih pelepah nescaya bacaan al-Quran
lebih utama.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Al-Khattabi berkata: “Hadis ini berkemungkinan maksudnya bahawa baginda berdoa untuk kedua-duanya supaya diringankan azat selama mana masih terdapat kesegaran padanya, bukan pada pelepah itu ada suatu makna (fungsi) khusus, dan bukan juga pada benda yang masih lembab itu ada suatu makna yang mengatasi benda yang sudah kering.”
Kredit penulis asal.
No comments:
Post a Comment