Sunday, 8 July 2018

MERIAM LAMA TANPA PENGENALAN DI KOTA BHARU

Sekiranya ada berjalan-jalan di bandar Kota Bharu, anda mungkin terpandang meriam lama yang menghiasi sesuatu sudut. Meriam itu ada yang besar, dan ada yang kecil. Bentuknya juga tidak sama. Ukuran lubang laras (lubang peluru) juga berlainan.

Misteri merian-meriam lama yang terdapat banyak di sekitar Kota Bharu belum terjawab sepenuhnya. Dianggarkan terdapat kira-kira 72 meriam lama pelbagai saiz terdapat di sekitar Kota Bharu. Menariknya, meriam-meriam itu secara konsepnya tidak ada siapa pemiliknya. 

Namun begitu, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) sebagai ‘penyelia’ meriam-meriam itu bolehlah dianggap sebagai ‘pemiliknya’. Selain MPKB BRI, beberapa agensi kerajaan, di mana meriam itu kini berada di kawasan agensi berkenaan, dianggap pemilik meriam berkenaan.

Meriam itu satu artifek bersejarah. Sepatutnya, meriam-meriam berkenaan diberi perhatian, terutama dari segi hubungan sejarah bagaimana boleh berada di Kota Bharu. 

Sebelum ini terdapat pihak yang telah berusaha untuk mengkaji mengenai kewujudan meriam-meriam berkenaan. Usaha itu bukan sahaja dilakukan oleh pihak tempatan, bahkan ada pakar sejarah daripada luar negara turut berminat mengenainya.

Bagi orang kebanyakan, kewujudan meriam itu tidak memberi apa-apa erti. Bagaimanapun, bagi peminat atau pakar sejarah, setiap barang lama mempunyai kaitan dengan sejarah. Apatah lagi, meriam bukanlah sebahagian daripada senjata orang Melayu. Ini bermakna kewujudan meriam itu secara langsung mempunyai kaitan dengan hubungan diplomatik antara Kelantan dengan negara asal meriam berkenaan.

Berdasarkan kajian yang dilakukan sebelum ini, mendapati ada antara meriam-meriam yang terdapat di Kota Bharu telah berusia lebih 187 tahun (2018). Manakala selebihnya dipercayai berusia lebih 100 tahun.

Contohnya, ada antara meriam itu pada badannya terdapat catatan mengenai tempat dan bila dibuat. Tulisan itu telah kabur dan sukar dibaca disebabkan berkarat. Bagaimanapun, dengan menggunakan teknik menabur serbuk putih di bahagian tulisan, catatan itu boleh dibaca.   

   Antara meriam itu dikenalpasti diperbuat di China pada zaman Dinasti Ching, iaitu sekitar tahun 1831. Ini bermakna usia meriam berkenaan telah berusia lebih 187 tahun.

Timbul persoalan, bagaimana meriam yang tercatat milik pemerintah tentera China itu boleh sampai di Kelantan. Meriam dianggap milik terpenting sesebuah angkatan tentera. Dalam sistem persenjataan tentera, meriam (artileri) dianggap sebagai Raja Medan Pertempuran. 

Kekuatan sesuatu ketumbukan tentera banyak bergantung kepada keupayaan meriamnya. Mana-mana pasukan yang mempunyai meriam yang lebih banyak dan canggih, peluang untuk menang pertempuran lebih besar.

Meriam itu dipercayai dihadiahkan oleh pemerintah kerajaan China kepada kerajaan Kelantan pada ketika itu. Ini membuktikan, pada ketika lalu telah wujud hubungan baik antara kerajaan China dengan kerajaan Kelantan, yang antara lain melalui aktiviti perniagaan.  

Kelantan dipercayai pernah menjadi pusat perdagangan utama di Pantai Timur, yang didatangi pedagang dari serantau Nusantara, termasuk dari China. Dipercayai, Sungai Kelantan yang ketika itu airnya dalam, boleh dimudik hingga ke Kuala Krai, kira-kira 70 kilometer dari muaranya. 

Ketika Kota Bharu mula dibangunkan sekitar tahun 1762 telah memiliki sebuah pangkalan yang membolehkan kapal-kapal dagang berlabuh. Pengkalan itu dinamai Pangkalan Leser atau Pengkalan Galuh, yang kini dikenali Kampung Kota Lama. 

Maka, tidak hairanlah jika hubungan dagang antara Kelantan dengan China turut melibatkan urusan persahabatan antara pemimpinnya. Justeru, sebagai hadiah tanda persahabatan, kerajaan China bermurah hati menghadiahkan meriam kepada kerajaan Kelantan bagi digunakan mempertahankan dari ancaman musuh.

Ada juga yang menyebut meriam itu dihadiahkan oleh pedagang China setiap kali singgah di Kelantan. Hadiah biasanya dalam bentuk benda yang istimewa dibawa daripada sesuatu tempat. Dalam hal ini, meriam amat istimewa dan penting untuk digunakan mempertahankan negeri.

Adapun, mengenai bagaimana meriam yang berat itu dipunggah, ada yang beratnya hingga 480 kilogram, kemungkinan menggunakan khidmat gajah. Pada kita masa dahulu, gajah digunakan sebagai alat pengangkutan membawa bebanan yang berat.

Sebenarnya, kenyataan itu hanya andaian dibuat berdasarkan kajian awal tokoh-tokoh sejarah. Banyak lagi kajian perlu dibuat berkaitan meriam lama yang kelihatan terbiar di beberapa tempat di sekitar Kota Bharu. 

Banyak lagi meriam yang ditemui terbiar sekadar besi buruk yang terletak di kampung-kampung berhampiran tebing Sungai Kelantan. Meriam-meriam itu dipercayai ditempatkan di tebing Sungai Kelantan untuk menyekat serangan musuh yang bergerak masuk menggunakan kapal untuk menyerang Kota Bharu.      

Selain meriam buatan China, ada antara meriam itu jenis ‘Dutch’ buatan England. Tiada catatan mengenai tarikh meriam itu dibuat. 

Meriam buatan England dipercayai dibawa lebih awal sebelum British menaungi (menjajah) Kelantan bermula tahun 1909. Kerajaan Siam (Thailand) menyerahkan Kelantan untuk diletakkan di bawah naungan British melalui Perjanjian 1909. Sebelum itu Kelantan berada di bawah naungan Siam sejak hubungan yang terbentuk dari ahun 1812.  

Mungkin juga meriam buatan England dibawah oleh saudagar Robert William Duff pada sekitar tahun 1900. Robert William Duff melalui syarikatnya Kompeni Duff telah mengadakan Perjanjian Duff-Raja Kelantan yang membolehkan dia mengerjakan kawasan tanah terletak antara Galas dan Lebir selama 40 tahun.

Pada ketika itu, suasana politik di Kelantan agak tidak aman. Perebutan kuasa antara kerabat raja sering berlaku. Berdasarkan suasana itu, ada kemungkinan Duff cuba mengambil hati sultan dengan menghadiahkan meriam-meriam. 

Satu lagi kemungkinan, meriam-meriam itu dihantar oleh kerajaan British melalui Pesuruhjayanya di Singapura sebagai memenuhi permintaan Sultan Kelantan agar British masuk campurtangan dalam beberapa urusan berkaitan pentadbiran negeri.  

Sedangkan sebenarnya, Kerajaan British tidak boleh campurtangan urusan di Kelantan kerana Kelantan ketika itu masih di bawah naungan Siam. Kerajaan British mengakui kedudukan dan kuasa Siam di Kelantan berdasarkan Perjanjian Burney yang ditandatangi pada tahun 1826.

Sebagai tanda menghargai pelawaan itu, kemungkinan British membalasnya dengan menghadiahkan meriam-meriam yang boleh digunakan untuk kepentingan pertahanan Kelantan.

Tentang siapa membawa meriam-meriam ke Kelantan, apa yang pasti meriam-meriam itu amat berharga dari segi sejarah politik Kelantan. Seperti telah dijelaskan, meriam adalah senjata penting dalam peperangan, dan tentulah juga penting dalam hubungkait kedudukan politik sesebuah negeri maupun negara.

Selain itu, sejarah meriam ini perlu diselidiki dengan jelas. Maklumat lengkap mengenainya pastinya menarik minat orang ramai mengetahuinya. Kajian ilmiah oleh pakar sejarah atau ahli akademik amat diperlukan sebagai ‘bukti’ sahih mengenai meriam-meriam itu. Orang ramai lebih berminat menghargai jika mengetahui asal usulnya.

Sekarang ini, meriam-meriam itu ada setengahnya dalam keadaan terbiar, menjadi tampat permainan kanak-kanak. Kanak-kanak tidak merasa takut bermain di atas meriam. Mereka sebenarnya tidak mengetahui bahawa itu adalah senjata yang cukup kuat kuasa membunuhnya. Mereka tidak tahu, peluru yang dikeluarkan dari meriam itu pernah membunuh banyak orang. 

No comments:

Post a Comment