Wednesday, 16 March 2022

SEJARAH PENGGUNAAN TANJAK

 
Pemakaian tanjak atau tengkolok atau destar dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat masyarakat Melayu. Pemakaian busana ini pada kebiasaanya akan dipadankan dengan bengkung, samping dan baju Melayu beserta keris selit.

Tanjak juga dipanggil setanjak, tengkolok, tekuluk, kuluk, destar, bulang hulu dan  setangan kepala merupakan sejenis alas kepala yang dipakai secara tradisi dalam kalangan masyarakat Melayu; ia banyak dipakai kaum lelaki.

Ia diperbuat daripada kain songket panjang yang dilipat-lipat dan diikat dalam gaya (solek) yang tertentu.

Pada zaman sekarang, tanjak lebih banyak dipakai dalam majlis-majlis yang penuh adat istiadat, misalnya oleh kerabat diraja dan para hadirin dalam majlis istiadat diraja, dan oleh pengantin lelaki ketika majlis perkahwinan.

Menurut sejarah, tengkolok atau tanjak pertama kali digunakan oleh masyarakat Srivijaya di Sumatera. Pada tahun 750 Masihi, Sang Jaya Bangsa atau Sang Rama Dhamjaya - Raja Srivijaya yang berpusat di Palembang, Sumatera, telah menyerang kerajaan Langkasuka yang berpusat di Semenanjung Tanah Melayu kini yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Raja Maha Bangsa.

Sehingga tahun 775 M, Srivijaya berjaya menakluki Langkasuka dan semua jajahannya. Dari sini, penggunaan tanjak atau tengkolok diperkenalkan ke Semenanjung.

Bagaimanapun, pengaruh budaya Langkasuka seperti “kecopong” atau “ketopong” kekal dominan. Di Semenanjung sendiri, peraturan penggunaan tengkolok atau tanjak bermula apabila Seri Teri Buana ditabalkan sebagai kerajaan bagi tiga kerajaan iaitu Sriwijaya, Bintan dan Singapura lama.

Dari segi geografi, Kepulauan Bintan dan Kepulauan Singapura adalah sebahagian daripada Semenanjung Tanah Melayu. Kedekatan, kemasukan tengkolok, tanjak dan destinasi ini bermula dari selatan ke utara Semenanjung.

Pada era-era berikutnya, selepas penyebaran agama Islam, Sultan Melaka dan Johor-Riau-Lingga-Pahang mempunyai putera mereka sebagai raja atau sultan di tanah Perak, Jeram (Selangor), Johor, Terengganu dan Pahang.

Terdapat juga di kalangan raja-raja Melaka dan Johor-Riau-Lingga-Pahang yang dilantik sebagai timbalan raja di tanah jajahan seperti Kelang (Selangor) dan Muar (Johor). Sultan Mahmud Syah (Kedah) telah pergi ke Melaka untuk mengadap Sultan Mahmud Syah (Malaka) untuk merayu nobat. Di sinilah bermulanya sejarah tengkolok atau tanjak di negara Kedah.

Sejarah tengkolok atau tanjak di negeri Kelantan bermula apabila Sultan Melaka menakluki negara Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga di bawah pemerintahan Sultan Gombak.

Dari Kelantan, penggunaan tengkolok atau tanjak masuk ke Patani ketika Patani diperintah oleh anak raja dari dinasti Kelantan I dan dinasti Kelantan II.

Pada era Kerajaan Persekutuan Besar Patani, penggunaan tengkolok, tanjak dan ikat kepala telah berkembang di negara Singgora (Songkhla, Phatthalung dan Satun) dan Ligor (Nakhon Si Thammarat).

Di bawah pengaruh empayar Kedah juga, penggunaan tengkolok, tanjak dan ikat kepala telah berkembang ke Sendawa (Sadao), Setul (Satun), Terang (Trang), Ayer Kelubi (Krabi), Kuala Punga (Phang Nga), Bukit Pulau (Koh Phuket) dan Rundung (Ranong) di Selatan Thailand dan Tenang Sari (Tenasserim) di Selatan Myanmar.

Gambar: Ahli Busana Kelantan berbusana lengkap, termasuk bertanjak, ketika majlis dianjurkan Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan (PCAK) di Sri Tanjung, Pulau Renjuna. 

No comments:

Post a Comment