Friday 14 February 2020

KEBAIKAN BERKEBUN DI LAMAN RUMAH

Ada pelbagai cara beriadah yang boleh dilakukan bersama keluarga namun apa pun aktiviti yang dipilih, matlamat untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan perlu menjadi keutamaan.

Ada sesetengah orang menjadikan hobi berkebun sebagai terapi untuk menenangkan diri sambil bersantai bersama keluarga tersayang.

Bahkan, memanfaatkan halaman rumah dengan pelbagai tanaman dan sayuran bukan saja memberi kepuasan buat mereka yang meminatinya malah menghidangkan panorama indah dan menyejukkan pandangan.

Berkebun di laman rumah memberi kepuasan dan keseronokan. Melihat tanaman menghijau yang mana menjadi sumber ketenangan. Hasil tanaman kebun sekitar rumah boleh dijadikan untuk kegunaan sendiri, berikan kepada jiran mahupun dijual.

Ada orang menjadikan masalah kawasan untuk bercucuk tanam, terutamanya sayur-sayuran. Itu hanya satu alasan dan bukan sebab yang menghalang. 

Dengan keluasan tanah 5 x 10 kaki yang biasa terdapat di hadapan rumah sudah boleh dijadikan kebun mini. Kalau tiada kawasan di atas tanah, boleh sahaja gunakan pasu dan polibeg sebagai medium untuk menanam sayur.

Sekarang tidak sukar untuk mendapat biji benih pokok yang ingin ditanam. Boleh beli di kedai produk pertanian, pasar raya dan paling mudah melalui atas talian.

Bagaimana cara hendak menanam dan menjaganya? Itupun tidak sukar. Sekarang ini banyak perkongsian di media sosial mengenai cara untuk menanam dan menjaga pokok yang ditanam.

Maklumat ada di hujung jari. Anda boleh bertanya kepada rakan-rakan dalam kumpulan media sosial dan ramai yang sudi menjawab memberi panduan dan pertolongan.

Perkongsian di laman sosial dapat membantu masyarakat menanam sayur dengan teknik betul.

3 comments: