Monday, 25 May 2026

HARUS MENGUCAP TAHNIAH PERAYAAN KEPADA BUKAN ISLAM

 
Di Malaysia ada dua pandangan tentang hukum mengucapkan tahniah perayaan kepada bukan Islam. Ada golongan mengapakan harus dan sebahagian pula mengatakan haram. Secara amalannya banyak mengatakan harus.

Pihak mengatakan harus adalah dengan syarat-syarat dan garis panduan yang khusus.

Antara perkara yang dihujahkan adalah adakah ucapan tersebut dikiranya penyerupaan (tasyabbuh) dengan mereka yang mengucapkannya sesama mereka? Banyak pendapat mengatakan "tidak", kerana ucapan tahniah dan selamat itu bukanlah suatu yang eksklusif, sebaliknya adalah suatu ucapan adat, seperti selamat pagi dan selamat menyambut kelahiran dan sebagainya.

Sekiranya seorang bukan Islam engucapkan kepada kita selamat menyambut maulidurrasul, adakah ia bermaksud, daripada semua sudut, bererti dia mengiktiraf aqidah orang Islam? Pastinya tidak.

Perlu membezakan antara penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Syeikh Abdullah bin Mahfudh Ibn Bayyah menyatakan bahawa perlu ada perbezaan antara memahami istilah penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah).

Menurut beliau, bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Ia menjadi haram jika menyamai mereka dengan niat (tashabbuh) bukannya semata-mata dengan wujudnya persamaan (musyabahah).

Perbezaan pandangan yang timbul adalah pada memahami definisi yang tepat bagi perkataan “tahniah” dan “selamat” yang menyebabkan hukumnya terbahagi kepada dua seperti di atas. Bagi menjelaskan hal ini, kita perlu melihat definisi “tahniah” dalam konteks bahasa dan pemahaman yang sebenar.

Dalam Bahasa Melayu, “tahniah” bermaksud: “ucapan yang ditujukan kepada seseorang untuk menyatakan rasa gembira kerana kejayaannya dan lain-lain, ucapan selamat”. Maka, tahniah juga tidak semestinya menzahirkan rasa reda dan pengagungan kepada sesuatu hal.

Bahkan pada 22 Disember 2007, seramai 138 cendekiawan Islam telah menandatangani satu surat terbuka sempena sambutan Hari Krismas kepada pimpinan gereja sedunia termasuklah Pope Benedict XVI.

Antara mesej surat tersebut ialah mengucapkan Merry Christmas kepada masyarakat Kristian yang menyambutnya, serta menzahirkan penghargaan atas respon positif kepada pimpinan agama Kristian terhadap usaha dialog antara agama yang dimulakan oleh pimpinan kaum Muslimin. Antara ulama yang menandatangani surat terbuka ini termasuklah Syeikh ‘Ali Jum’ah, Syeikh Hamza Yusuf dan Syeikh Ikrima Sabri (Mufti al-Quds).

Keputusan institusi fatwa seperti Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan harus mengucapkan tahniah kepada orang bukan Muslim merayakan perayaan mereka itu dengan lafaz yang tidak bertentangan dengan akidah Islamiyyah dan perbuatan ini termasuk di bawah bab Ihsan.

Begitu juga fatwa dikeluarkan Dar al-Ifta’ menjelaskan bahawa ucapan Merry Christmas ini tidak termasuk di bawah penyerupaan dengan bukan Islam yang dilarang, kerana larangan tasyabbuh itu meliputi perbuatan dan iktiqad yang bercanggah dengan perkara-perkara thawabit (prinsip-prinsip tetap yang qath’ie) dalam Islam. 

Manakala Majlis Fatwa Eropah juga mengharuskannya sesuai dengan Fiqh al-Aqaliyyat, dan ia boleh diucapkan oleh individu Muslim atau organisasi Islam kepada saudara mereka yang bukan Islam, dan ini bertujuan memelihara masyarakat minoriti Muslim itu sendiri (Minoriti Muslim di negara bukan Muslim).

No comments:

Post a Comment