Hukum berkaitan mengucapkan tahniah atau selamat
menyambut perayaan bukan Islam kepada individu bukan Islam sering menimbulkan
polemik. Ada ulama kata harus dan ada juga mengatakan haram.
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi pula mengharuskan ucapan tahniah
kepada non-Muslim yang tidak memerangi dan memusuhi orang Islam. Menurut
beliau, Nabi SAW sendiri sentiasa melazimi perbuatan baik dan akhlak mulia
bersama non-Muslim, dan ini termasuk di bawah perintah ayat kelapan surah
al-Mumtahanah yang bermaksud: “...hendaklah kamu berbuat baik dan berlaku adil
kepada mereka (non-Muslim).”
Dalam komentar beliau terhadap fatwa Ibn Taimiyyah dan Ibnul
Qayyim pula, beliau menyatakan persetujuan bahawa Muslim tidak boleh sama-sama
merayakan perayaan non-Muslim, tapi ini berbeza dengan sekadar mengucapkan
tahniah sempena hari kegembiraan mereka.
Sesungguhnya Ibn Taimiyyah berfatwa untuk zaman beliau yang
mempunyai konteks yang tersendiri. Bahkan jika beliau hidup pada zaman ini dan
melihat konteks hubungan manusiawi pada zaman sekarang yang amat rapat, nescaya
beliau akan mengubah fatwa beliau, atau berlembut sedikit daripada pendirian
tegas beliau dalam isu ini.
Bahkan perayaan Krismas juga telah berubah menjadi satu
perayaan bersifat adat. Pun begitu keharusannya adalah dengan syarat tidak
ada sebarang bentuk pengagungan syiar agama lain seperti salib atau
meredhainya. Ianya diucapkan semata-mata menyantuni mereka sahaja.
(Lihat Fiqh Mu’asirah, 1/669-673)
Syeikh Al-Maraghi berkata: “Oleh sebab itu, dalam memenuhi
hak setiap anggota umat atau seluruh manusia memadailah dengan pergaulan dan
perkataan yang baik, menyuruh berbuat baik, mencegah perbuatan mungkar dan
perbuatan lain bermanfaat di dunia dan akhirat.” (Rujuk Tafsir al-Maraghi,
1/174)
Menurut Syeikh Abdullah bin Bayyah, adalah diharuskan untuk
kita mengucapkan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan mereka sama ada
melalui lisan ataupun bertulis, selagimana tidak mengandungi syiar-syiar
keagamaan mereka yang bercanggah dengan Islam seperti salib.
Ucapan tahniah sempena perayaan ini tidak menunjukkan
sebarang pengakuan atau keredaan ke atas kebenaran agama mereka, bahkan ia
hanya satu bentuk mujamalah (perkataan yang baik dan penuh hormat)
sesama manusia.
Hal ini lebih-lebih lagi sekiranya kita mempunyai hubungan
kekerabatan, persahabatan dan kemasyarakatan dengan mereka. Namun, beliau tetap
menegaskan akan keharaman orang Muslim menyambut sebarang perayaan orang bukan
Islam sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian Muslim pada hari ini.
(Rujuk Sina’ah al-Fatwa wa Fiqh al-Aqalliyyat, hal. 430-435)
Menurut Imam al-Qurthubi, ayat ini menjadi dalil bahawa
harus memulakan salam kepada non-Muslim kerana ia termasuk di bawah perbuatan
baik, dan ini juga pandangan Imam al-Nawawi. (Lihat Tafsir
al-Qurthubi, 11/103 dan Syarh Sahih Muslim, 14/145)
Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, Nabi SAW tidak berkata
“berakhlaklah dengan Muslim dengan akhlak yang mulia” tapi dengan seluruh
manusia. Namun beliau mensyaratkan agar ucapan tahniah itu tidak mengandungi
pengakuan terhadap kebenaran agama mereka atau meredhai kekufuran mereka, dan
tidak menyanggahi prinsip-prinsip Islam. (Rujuk Fiqh
Mu’asirah, 3/668)
Islam adalah agama yang membawa rahmat, keamanan dan segala
kebaikan. Allah SWT telah memerintahkan kepada kita untuk berlaku baik kepada
semua manusia, tanpa sebarang perbezaan.

No comments:
Post a Comment