Buah pauh atau juga dipanggil dengan nama mempelam, mangga
dan asam mengikut kawasan atau negeri berbeza. Nama pauh digunakan di Kelantan
yang dikatakan nama asal dalam bahasa Melayu.
Perkataan mempelam banyak digunakan penduduk di kawasan
utara dikatakan serapan perkataan Tamil iaitu "mampalam". Di kawasan
selatan pula lebih dikenali dengan panggilan buah asam. Nama lebih popular
ialah mangga. Perkataan mangga diserap dari bahasa Portugis.
Buah pauh merupakan buah tropika dari spesies Mangifera
indica. Buah ini dimakan segar atau diproses menjadi jus, jem, atau jeruk. Rasanya
manis dan masam-masam manis, dengan isi yang tebal berwarna oren kekuningan
apabila masak.
Mangga mendapat permintaan yang tinggi di pasaran dan
merupakan sebagai makanan pencuci mulut yang sangat popular di kalangan rakyat
Malaysia. Memandangkan pengeluaran yang terhad di Malaysia, buah mangga banyak
diimport dari Thailand untuk memenuhi permintaan.
Buah mangga terdapat dalam berbagai saiz dan bentuk mengikut
klon. Kulitnya berwarna hijau ke kuning atau merah ketika masak manakala isinya
berwarna kuning pucat hingga ke warna oren. Setiap buah mengandungi biji yang
dilitupi endokap bersabut keras.
Kebanyakan jenis mangga di Asia Tenggara terdiri dari
poliembryonik iaitu mengeluarkan beberapa biji dari satu buah. Buah yang belum
masak boleh dibaut rojak atau dibuat jeruk, ini termasuk dikeringkan, diproses
menjadi jus, jam dan sebagainya.
Mangga yang telah dipetik boleh disimpan selama 4 hingga 9
minggu pada suhu 9 - 10ºC, manakala buah yang masak boleh disimpan 4 hingga 7
hari dalam suhu 18 - 21ºC.
Buah pauh kaya dengan vitamin A dan C, serta mengandungi
vitamin B2, B3, folat, dan kalium. Choline yang terkandung di dalamnya juga
penting untuk memori, mengatasi keresahan, dan meningkatkan metabolisme.
