Tuesday, 10 March 2026

TIKTOK PEMANGKIN PERTUMBUHAN EKONOMI DIGITAL

Platform media sosial popular, TikTok dijangka menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi digital Malaysia apabila dianggarkan menyumbang sekitar RM20 bilion kepada ekonomi negara pada 2025.
 
Menurut Laporan Kesan Sosioekonomi yang dijalankan oleh Kearney dengan kerjasama TikTok, sumbangan itu mewakili kira-kira empat peratus daripada saiz ekonomi digital negara serta hampir satu peratus daripada anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Malaysia.
 
Laporan itu turut menunjukkan ekosistem TikTok menyokong sekitar 147,000 peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan di seluruh negara pada 2025, dengan produktiviti pekerja dalam ekosistem platform berkenaan dianggarkan sekitar 15 peratus lebih tinggi berbanding purata nasional.
 
Perkembangan ini selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu digital, termasuk melalui pelaksanaan dasar kerajaan yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi digital dan industri kreatif.
 
Selain menjana peluang pekerjaan, TikTok turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi pencipta kandungan apabila kira-kira 35 peratus pencipta kandungan di platform itu mengakui menjadikan aktiviti berkenaan sebagai kerjaya sepenuh masa.
 
Laporan berkenaan turut menunjukkan pendapatan pencipta kandungan di platform tersebut dijana melalui pelbagai sumber termasuk kerjasama jenama, pemasaran afiliasi serta monetisasi siaran langsung.
 
Pada masa sama, platform itu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) apabila sekitar 1.8 juta perniagaan tempatan menggunakan TikTok Shop untuk memasarkan produk mereka.
 
Kajian turut mendapati 97 peratus perniagaan yang menggunakan platform itu menganggap TikTok sebagai sumber pendapatan penting, manakala hampir separuh melaporkan lebih 40 peratus hasil jualan mereka dijana melalui platform berkenaan.
 
Selain membantu meningkatkan jualan, TikTok juga mempercepatkan proses pendigitalan perniagaan tempatan apabila lebih 100,000 PMKS, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar, menerima latihan serta sokongan untuk menggunakan platform itu.
 
Pendekatan unik TikTok yang menggabungkan kandungan hiburan, pendidikan dan e-dagang melalui konsep 'shoppertainment' turut mengubah cara pengguna membuat keputusan pembelian, daripada penemuan produk sehingga kepada transaksi.
 
Laporan itu juga menunjukkan 65 peratus pengguna TikTok melakukan pembelian selepas menemui produk melalui kandungan di platform berkenaan.

No comments:

Post a Comment