Wednesday 16 June 2021

DIANGKAT LEBIH TINGGI DARJAT ORANG BERILMU

 
Islam adalah agama syumul yang menekankan kepada kehidupan yang sempurna. Antara yang ditekankan dalam Islam ialah mengenai pendidikan atau keilmuan. Bukti perkara ini penting ialah apabila ia dinyatakan dalam al-Quran dan hadis. 

Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyebut mengenai kepentingan pendidikan dan ilmu. Antara ayat al-Quran dan hadis yang memperkatakan mengenai kepentingan ilmu dan pendidikan ialah:

Surah al-Alaq adalah ayat atau wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bacalah atas nama Tuhanmu yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, Tuhanmu itu Maha Pemurah yang telah mengajarkan dengan pena pengetahuan yang manusia belum ketahui.” (Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5).

Amat jelas sekali ayat di atas memerintahkan agar manusia membaca dan mencari ilmu. Manusia akan dapat mengenal Allah SWT dan menyakini atau beriman apabila mengetahui hakikat kuasa yang dimiliki Allah SWT. 

Kita diajar mengenai kejadian manusia yang dicipta oleh Allah SWT dan dengan sebab itu mengapa kita perlu taat dan menyembah hanya kepada Allah SWT yang hanya layak disembah. 

Dengan kata lain, ilmu itu sendiri membawa kepada kepecayaan dan keimanan. Maka sebab itu, ayat pertama menjelaskan kepada kepentingan ilmu dan pendidikan. 

Ketika Allah SWT menguji keupayaan Nabi Adam mengenai alam dan bumi, sebenarnya terlebih dahulu Nabi Adam diberi pengetahuan mengenainya. Nabi Adam layak menjadi khalifah di muka bumi disebabkan mempunyai ilmu mengeninya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)
           
Ayat ini jelas membuktikan bahawa orang yang berilmu diangkat darjatnya oleh Allah SWT berbanding orang yang tidak berilmu. Ini secara langsung membutikan bahawa kita perlu menuntut ilmu bagi mengangkat darjat dan kedudukan di sisi Allah SWT. Dan secara langsung juga membuktikan bahwa Islam amat mementingkan aspek pendidikan. 

Soal darjat dan kedudukan orang berilmu memang tidak dapat dinafikan. Dalam mana-mana tamadun manusia atau kelompok manusia, orang berilmu lebih dipandng mulia dan tinggi.

Mereka diberi kepercayaan untuk memimpin atau mengetuai sesuatu tugas berkaitan dengan kemahiran yang dimiliki. Ilmu yang dimaksudkan tidak hanya yang tercatat di sijil atau ijazah. Ilmu merangkumi semua bentuk kemahiran dan kepakaran dalam sesuatu bidang. 

Dalam dunia moden yang mementingkan kepakaran, individu yang mahir dalam sesuatu bidang mendapat penghormatan dan disanjung berkaitan kemahirannya. 

Lalu mereka mendapt tempat yang baik dalam masyarakat dan seterusnya berpeluang mendapat imbuhan atau keuntungan berbentuk kewangan dan kebendaan.

Gambar: Bot beroperasi di delta Sungai Kelantan. Sekadar hiasan. 

No comments:

Post a Comment