Monday, 25 May 2026

PENDAPAT MENGATAKAN HARAM UCAP TAHNIAH PERAYAAN BUKAN ISLAM

 
Para ulama berbeza pandangan dalam menyatakan hukum mengucapkan tahniah bagi perayaan bukan Muslim. Ada golongan mengatakan haram dan sebahagian yang lain mengatakan harus. 

Dikemukakan pendapat ulama yang mengatakan haram mengucap tahniah. Secara umumnya, jumhur ulama keempat-empat mazhab mengharamkan ucapan tahniah kepada orang bukan Islam sempena perayaan mereka.

Mazhab Syafie: 

Menurut Imam al-Damiri ketika mensyarahkan perkataan Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj, dihukum takzir bagi sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan mereka, siapa yang memegang ular, sesiapa yang memasuki api, sesiapa yang berkata keada seorang kafir zimmi: “Wahai haji", sesiapa yang mengucap tahniah kepadanya dalam satu perayaan, dan sesiapa yang menamakan penziarah kubur orang-orang soleh (atas tujuan yang syirik) sebagai " Haji ". " (Lihat al-Najm al-Wahhaj, 9/244)

Hujah yang sama juga dibawakan oleh Imam al-Ramli dalam Hasyiah al-Ramli ‘ala Asna al-Matalib, al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj, 4/255 dan al-Iqna’ fi Halli Alfazh Abi Syuja’, 2/526.

Maksud muwafaqah orang-orang kafir adalah “melakukan apa yang mereka lakukan di hari perayaan mereka, dan ini haram.” (Lihat al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 5/21).

Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj, 9/181; Syeikh Zakaria al-Ansari (Asna al-Mathalib, 4/162), Ibn Hajar al-Haitami (Tuhfah al-Muhtaj, 9/181) dan Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah, 4/206.

Mazhab Hanafi: 

Menurut Abu Hafs al-Kabir dari mazhab Hanafi, jika seorang lelaki beribadah kepada Allah 50 tahun lamanya, kemudian datangnya Hari Nairuz dan dia menghadiahkan telur kepada sebahagian musyrikin dengan tujuan mengagungkan hari tersebut, maka telah jatuh kafir dan terhapus amalannya. (Lihat Al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq, 8/555).

Mazhab Maliki:

Ibn al-Haj al-Maliki secara ringkasnya melarang orang Islam melakukan apa yang orang bukan Islam lakukan pada hari perayaan mereka. (Lihat al-Madkhal, 2/46-48).

Mazhab Hanbali: 

Imam al-Buhuti menjelaskan bahawa hukum mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sewaktu perayaan mereka adalah diharamkan kerana ia merupakan satu bentuk pengagungan kepada mereka. (Lihat Kasyf al-Qina’, 3/131)

Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa tidak halal bagi umat Islam untuk menyerupai mereka  (orang-orang bukan Islam) pada sesuatu pun dari perkara-perkara yang terkait secara khusus dengan perayaan mereka.

Tidak menyerupai dari sudut makanan, pakaian, mandian, menyalakan api, serta tidak pula menyerupai mereka pada perkara yang membatalkan adat dari sudut kehidupan atau ibadah, atau selainnya.

Begitu juga tidak membiasakan kanak-kanak dan seumpamanya untuk bermain permainan yang terdapat di dalam perayaan tersebut, serta tidak menzahirkan perhiasan.

Bahkan hari perayaan mereka di sisi umat Islam adalah sama seperti hari-hari lain yang tidak dikhususkan oleh orang-orang Islam.

Bahkan ada sekumpulan ulama yang berpendapat kepada kekufuran mereka yang melakukan perbuatan-perbuatan seperti ini. Ini kerana terdapat pada perbuatan tersebut mengagungkan syiar-syiar yang kufur.

Berkata sebahagian ulama: Sesiapa yang menyembelih nathihah (haiwan) pada hari perayaan mereka seakan-akan dia menyembelih seekor khinzir.

Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘Ash telah berkata: Sesiapa yang mencontohi negara-negara ‘ajam dan melakukan Nairuz dan mahrajan (perayaan) mereka serta menyerupai perbuatan mereka sehinggalah dia meninggal dunia dalam keadaan tersebut, maka dia akan dibangkitkan bersama-sama mereka pada Hari Kiamat.

Umar bin al-Khattab, para sahabat, dan keseluruhan para pemimpin umat Islam telah mensyaratkan supaya mereka tidak menzahirkan perayaan-perayaan mereka di negara umat Islam. Bahkan mereka (orang bukan Islam) hanyalah melakukannya (perayaan tersebut) di rumah-rumah mereka secara sembunyi.

Demikian juga mereka (para ulama) melarang dari perbuatan membantu mereka (orang bukan Islam) dalam perayaan mereka seperti memberi hadiah atau berjual beli.

Para pemerintah juga hendaklah melarang umat Islam dari melakukan perkara tersebut.

No comments:

Post a Comment