Firman Allah dalam surah Al Anfaal ayat 27 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan ke atas kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)."
Memimpin adalah amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Amanah dan tanggungjawab ini tidak akan terlaksana tanpa adanya pemimpin yang berwibawa memiliki ciri-ciri dan sifat-sifat yang tertentu.
Pemimpin bertanggungjawab mengajak manusia mengabdikan diri sesungguhnya kepada Allah melalui kerja-kerja memakmurkan bumi, melakukan islah, menegakkan kebenaran, mengujudkan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat dan negara.
Berdasarkan amanah dan tanggungjawab seorang pemimpin, maka orang yang lemah
dan tidak memiliki kelayakan tidak boleh menjadi pemimpin. Oleh itu melantik
seorang pemimpin atau pegawai yang tidak memiliki kelayakan kepada sesuatu
jawatan sedangkan masih ada orang yang lebih layak kepada jawatan tersebut,
merupakan suatu pengkhianatan besar kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Amalan itu sangat bertentangan dengan ajaran syariat Islam kerana akibat dari perbuatan itu, masyarakat dan negara akan musnah dan tergadai serta diangkat keberkatannya.
Demi menjaga kepentingan umat dan negara, demi menjaga pengaruh keduniaan agar
tidak meresap masuk ke dalam jiwa pemimpin, Rasulullah SAW melarang meminta
sesuatu jawatan di dalam pemerintahan, apa lagi merebut tanpa kelayakan dan
persediaan yang mencukupi.
Sifat loba dan tamak menginginkan jawatan akan mendorong seseorang
untuk berbuat zalim dan dosa demi untuk mendapatkannya. Apabila sudah dapat
berjawatan maka akan dipergunakannya untuk kepentingan-kepentingan dirinya.
No comments:
Post a Comment