Tuesday, 3 January 2023

HENTIKAN POLITIK TOKSIK ROSAKKAN NEGARA

 
Dalam pergelutan dan pergolakan politik, tidak ada mana-mana parti boleh mendabik dada sebagai tidak bersalah.
 
Sekiranya suatu pihak mempergunakan sentimen perkauman dan agama untuk menarik sokongan, saingannya pula memanipulasi ketakutan terhadap kedua-dua unsur itu untuk menjauhkan pengundi kepada lawan.
 
Senario ini yang sebenarnya menyebabkan Malaysia terperangkap dalam belenggu hingga menyebabkan negara dan rakyat terheret dengan drama politik tidak berkesudahan.
 
Parti pemerintah berusaha mempertahankan status quo. Manakala pembangkang pula berhempas-pulas untuk menumbangkannya termasuk di tengah-tengah penggal pilihan raya atau di luar musim pilihan raya.
 
Ketika inilah, semua isu akan dimanipulasikan dan setiap senjata dihala kepada saingan politik masing-masing. Dalam keghairahan itu terciptalah pelbagai tuduhan serta dakwaan yang belum tentu benar asalkan musuh politik akan dilihat buruk.
 
Lebih menyedihkan apabila elemen perkauman dan keagamaan tanpa asas digunakan demi kepentingan siasah.
 
Ini menyebabkan setiap pertimbangan dibuat sama ada kerajaan mahupun pembangkang semuanya mendahulukan strategi dan kepentingan politik, berbanding negara serta rakyat.
 
Rakyat pun sudah penat dengan politik toksik yang bukan sahaja menggugat perpaduan, malah menjejaskan kemajuan dan pembangunan negara.
 
Kita sudah jauh ketinggalan akibat api politik sempit, fitnah, kebobrokan dan tipu daya semata-mata mahu berkuasa dan kepentingan sendiri serta satu agama dan satu kaum sahaja.
 
Kalau api politik dimarakkan sepanjang masa, bilakah agenda pembangunan negara hendak dilaksanakan. Masa dan tenaga banyak dihabiskan untuk pembalahan politik semata-mata.
 
Cukup-cukuplah berpolitik kebencian dan proganda yang tidak penghujungnya. Mereka yang telah dipilih oleh rakyat melalui peti undi, bertugaslah dengan penuh amanah dan adil. Tunaikan janji-janji semasa kempen pilihan raya.

No comments:

Post a Comment