Ada kumpulan ulama mengatakan harus mengucapkan tahniah
kepada bukan Islam ketika perayaan agama mereka. Manakala, sebahagian yang lain
pula mengatakan haram.
Tulisan ini akan mencatatkan pendapatan golongan ulama
mengatakan harus.
Syeikh Muhammad Ahmad ‘Ulaisy al-Maliki ketika
ditanya: “Sekiranya seorang Muslim pergi ke rumah zimmi pada hari
perayaannya dan mengucapkan ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’.
Adakah ia dikira sebagai terkeluar daripada Islam atau tidak?
Jawab beliau: “Tidak terkeluar daripada Islam seseorang
Muslim yang berkata kepada seorang Kristian ‘Moga Allah memelihara umurmu
sepanjang tahun’ di mana beliau tidak bermaksud untuk membesarkan kekufuran dan
tidak meredhai kekufuran. (Rujuk Fath al-‘Ali al-Malik fi al-Fatwa
‘ala Mazhab al-Imam Malik, 2/350)
Disebutkan oleh al-Hattab al-Rauyani bahawa al-Imam al-‘Izz
Abd al-Salam al-Syafie telah ditanya telah hukum mengucapkan “Semoga hari
sambutan ini diberkati untuk kamu.” kepada dhimmi semasa perayaan mereka.
Jawabnya: “Sekiranya Muslim tersebut mengucapkan sedemikian
kepada dhimmi dengan niat mengagungkan agama mereka dan perayaan mereka,
sesungguhnya dia telah terkeluar daripada Islam. Adapun sekiranya beliau tidak
bermaksud sedemikian dan ucapan itu sekadar terlontar di mulutnya, beliau tidak
terkeluar daripada Islam kerana ucapannya adalah tanpa
niat.” (Rujuk Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar
al-Khalil, 6/289)
Menurut Imam al-Mardawi, salah satu qaul mazhab Imam Ahmad
mengharuskan ucapan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan mereka jika ada
maslahah yang rajih, seperti untuk mengharapkan mereka menerima hidayah Islam.
Manakala menurut Imam Abu Daud, harus sekiranya kita ingin
mengajak mereka kepada Islam (Rujuk Al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min
al-Khilaf, 4/234-235).
Menurut Imam al-Bulqini, jika seseorang itu mengucapkan
dengan niat mengagungkan agama mereka, maka dia telah kafir. Adapun jika
sekadar menyatakan dengan lisan tanpa niat yang demikian, maka dia tidak jatuh
kafir. (Rujuk Fatawa al-Bulqini, hal. 986)
Perkara pertama yang perlu kita fahami ialah tiada ijmak
yang jelas mengharamkan perkara ini. Syeikh al-Syarif Hatim al-Awni menyebut
bahawa asas bagi keharusan berserta garis panduan ini adalah kerana:
Tidak ada dalil yang jelas secara khusus dalam
al-Quran dan al-Sunnah berkenaan larangan atau keharusan mengucapkan tahniah
kepada mereka.
Tidak ada diriwayatkan teks-teks secara
khusus daripada salafussoleh dalam kalangan
sahabat, tabi’ dan tabi’al-tabi’in juga imam-imam mazhab
(Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafie dan Imam Ahmad) berkenaan hukum
mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sempenan perayaan mereka.
Apabila tidak ada dalil yang jelas daripada al-Quran,
al-Sunnah dan salafussoleh, maka kenyataan yang menegaskan haramnya mengucapkan
tahniah sebagai ijmak, masih boleh diperbahaskan akan ketepatannya.
Syeikh Muhammad Rasyid Redha menulis bahawa maslahah rakyat
sesebuah negara tertakluk kepada hubungan sesama mereka.
Akhlak yang buruk jka disandarkan kepada agama merupakan
sebesar-besar fitnah dan tohmahan terhadap agama. Maka hendaklah kaum Muslimin
menziarahi orang Kristian sewaktu perayaan mereka dan bergaul dengan mereka
dengan akhlak yang baik. (Rujuk Majallah al-Manar, 7/24)
Daripada fatwa ini kita fahami, jika beliau mengharuskan
menziarahi mereka sewaktu perayaan mereka, maka sekadar mengucapkan tahniah
pastinya lebih ringan hukumnya.
Syeikh Musthafa Zarqa mengharuskannya atas dasar mujamalah
dan pergaulan baik sesama manusia, dan Islam tidak pernah melarang hal ini.
(Rujuk Fatawa Musthafa al-Zarqa’, hal. 357)

No comments:
Post a Comment