Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa
al-Haram fil Islam antara lain menyebut: “Jika kita hendak menyimpulkan
ajaran-ajaran Islam dalam tindakannya terhadap orang-orang yang menyalahinya
dalam lingkungan apa yang halal dan apa yang haram, maka memadailah kita
berpegang kepada dua ayat daripada al-Quran al-Karim yang boleh dianggap
sebagai prinsip yang menyeluruh.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah SWT tidak
melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang
yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari
kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang-orang yang berlaku
adil." (Surah al-Mumtahanah ayat 8)
Ayat di atas tidak hanya menggalakkan seseorang berlaku adil
dan saksama kepada orang-orang yang bukan Muslim, yang tidak memerangi, iaitu
tidak menunjukkan permusuhan kepada kaum Muslimin dalam agamanya.
Tegasnya, mereka itu tidak menaruh niat permusuhan atau
peperangan terhadap kaum Muslimin, malah ayat itu juga menggalakkan supaya
berbuat baik dan memberikan layanan yang sempurna kepada mereka.
Perkataan “al-birr” iaitu “baik” merupakan kalimah yang
meliputi segala pengertian dan maksud yang baik umumnya dalam sebarang maksud,
dan ianya adalah suatu perkara yang melebihi “keadilan”.
Kalimah al-bir tersebut pernah digunakan oleh kaum
Muslimin untuk menunjukkan kewajipan yang utama tentang hak-hak
kemanusiaan ke atas diri mereka, ketika menggunakan perkataan itu untuk berbuat
baik kepada kedua ibu bapa (birr al-walidain).
Seseorang Mukmin itu mestilah berusaha dengan sepenuh daya
upaya untuk merealisasikan apa yang disukai oleh Allah SWT, dengan tidak sama
sekali menafikan atau menolak pengertian “menggalakkan dan menuntut” yang
terdapat di dalam ayat ini, kerana ia berbunyi dengan ungkapan “Allah SWT
tidak melarang kamu…” Ini kerana ungkapan seumpama ini adalah untuk
menolak apa yang terlekat di dalam pemikiran Muslim, yang mana masih lagi
berlaku sehingga ke hari ini.
Sesiapa sahaja yang memusuhi ajaran Islam tidak berhak
baginya mendapat kebaikan, keadilan dan pergaulan yang baik.
Lantaran itu, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia tidak
melarang orang Islam untuk melakukan sedemikian, meskipun orang-orang itu
menyalahi agama mereka, bahkan sekalipun mereka memeranginya dan bermusuhan
terhadapnya.”
Dengan itu, akan terzahirlah Islam sebagai agama yang
bersifat rahmatan li al-‘alamin (memberi rahmat ke seluruh alam
jagat).
Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT
hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang
memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman
kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa
yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang
zalim." (Surah al-Mumtahanah ayat 9)
Gambar sekadar hiasan

No comments:
Post a Comment