Diharuskan untuk mengucapkan tahniah atau meraikan
sambutan perayaan bukan Islam apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya
bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang
berlaku dalam masyarakat.
Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk,
kaum keluarga yang memiliki anggota Islam dan bukan Islam, kejiranan dan rakan
sekerja.
Sekiranya tidak ada keperluan seperti yang disebutkan, kami
cenderung kepada makruhnya ucapan tersebut kerana ia boleh menimbulkan
fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan bukan
Islam hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau
bergambar. Adapun memakai pakaian tertentu yang lazim dipakai semasa
sambutan perayaan lain, perbuatan itu tidak ada keperluannya dan tidak boleh
dilakukan.
Ucapan tersebut hanya sebagai tanda menjaga hubungan
baik, tiada paksaan dalam agama dan tidak bertujuan mengagungkan
dan memuliakan agama lain.
Dibolehkan untuk menerima atau memberi hadiah kerana
Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis yang
tidak beragama Islam.
Saidina Umar juga pernah menghadiahkan baju kepada
saudaranya yang bukan Muslim. Ia ada terdapat dalam hadis yang panjang dalam
riwayat al-Bukhari dan Muslim. Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini
menyatakan: “Dibolehkan seorang Muslim menghadiahkan orang Musyrik pakaian dan
selainnya.” Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/38.
Niatkanlah secara umum untuk memberikan hadiah. Sesungguhnya
amalan itu berdasarkan niat.
Dibolehkan untuk hadir ke majilis orang bukan Islam
sekiranya ia diadakan di luar rumah ibadat seperti di dewan orang ramai,
padang, pejabat atau rumah, untuk tujuan yang berkait dengan adat seperti
jamuan makan yang dihidangkan makanan yang halal.
Sekiranya majlis tersebut diadakan dalam rumah ibadat pada
hari perayaan, maka makruh bagi orang Islam untuk menghadirkan diri.
Diriwayatkan bahawa Umar RA berkata bermaksud:
"Janganlah kalian menemui orang-orang musyrik di gereja-gereja (tempat
ibadah) mereka pada hari raya mereka, karena kemurkaan (Allah) turun kepada
mereka." (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan (9/234) dan Abd al-Razzaq
dalam al-Musannaf (1609)
Tegahan ini menurut Ibn Muflih bersifat makruh dan bukannya
haram. (Rujuk al-Adab al-Syar’iyyah, 3/432)
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun
2007’: “Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad
atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS)
dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka
adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau
memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau
lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.”

No comments:
Post a Comment