Monday, 25 May 2026

ADAT CUKUR JAMBUL

 
Di Malaysia, majlis bercukur bayi sudah menjadi adat yang dipanggil “cukur jambul”. Sedangkan hakikatnya, dalam Islam, mencukur rambut bayi yang baharu lahir adalah sunah. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama". (Hadis riwayat Ahmad)  
 
Sunah tidak menjelaskan siapa yang perlu mencukur rambut bayi itu. Tetapi menjadi adat yang diamalkan, rambut bayi itu bukannya dicukur, tetapi dipotong menggunakan gunting. 

Setiap tetamu atau hanya sebahagian yang hadir akan memegang hujung rambut bayi dan dipotong sedikit. Potong sedikit kerana ingin memberi peluang kepada yang lain turut dapat memotong.
 
Sunah adalah mencukur kesemua rambut itu. Maksudnya, selepas majlis perlulah dicukurkan sepenuhnya. Itupun kalau hendak ikut sunah. Kalau tidak melakukannya bukanlah dosa.
 
Elakkan melakukan amalan adat seperti menggunakan buah kelapa, garam, beras dan bunga semasa mencukur rambut anak yang menyerupai budaya Hindu. Ini kerana amalan bercukur turut diamalkan di kalangan masyarakat India yang beragama Hindu.

Sebahagian masyarakat Islam hari ini tidak mencukur rambut anak-anak hingga botak sebaliknya mengadakan upacara cukur jambul sebagai adat dan tradisi yang diamalkan sejak turun temurun. Tambah mengelirukan, rambut yang digunting itu dimasukkan ke dalam buah kelapa.
 
Mengikut sesetengah pendapat, amalan cukur jambul adalah tradisi dan kepercayaan yang dilakukan oleh masyarakat India seperti menggunakan buah kelapa. Soalnya, kenapa menggunakan buah kelapa? Apakah relevan amalan sebegini dengan masyarakat Islam?
 
Selain amalan-amalan di atas yang bertentangan dengan syariat agama, kesilapan yang turut dilakukan ibu bapa hari ini ialah akikah atau cukur rambut dilakukan setelah bayi berusia beberapa bulan. Majlis tersebut turut disertai dengan adat berendoi di mana buaian dihias dengan bunga-bungaan dan perhiasan lain.
 
Sebenarnya, upacara cukur rambut tidak perlu disertakan dengan jamuan. Ia memadai dengan bercukur rambut sahaja. Melainkan jika ia diadakan pada hari akikah, bolehlah diadakan jamuan.
 
Tetapi kadang-kadang disebabkan rasa gembira dengan kehadiran orang baru dalam keluarga, kita mengadakan majlis secara besar-besaran hingga menampakkan unsur-unsur kemewahan.
 
Perbuatan ini tidak menjadi kesalahan asalkan niat dan tujuan diadakan adalah ikhlas kerana Allah SWT. Cuma dibimbangi sekiranya ia bertukar menjadi riak, maka ia adalah menjadi satu kesalahan.
 
Masyarakat Islam harus faham bahawa sesuatu amalan yang dilakukan sama ada yang sudah menjadi tradisi dan kebiasaan tanpa bersumberkan nas atau dalil yang sah perlu ditolak. Apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan kepercayaan dan tradisi agama lain.
 
Kebanyakan amalan yang dijadikan adat bagi orang Melayu dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang sekian lama diamalkan di negara ini. Berpandukan kepada sejarah, sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, penduduk asal negara ini ketika itu menganut agama Hindu.
 
Justeru, demi kebaikan bayi yang dilahirkan supaya menjadi manusia yang berguna kelak, tidak seharusnya mereka didedahkan dengan perkara khurafat dan bidaah sejak masih kecil.
 
Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan iaitu sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih.
 
Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk.
 
Kemudian kelapa yang dihias dengan lilitan rantai emas atau perak di sekelilingnya diletakkan di dalam sebiji batil. Kesemua rambut bayi yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.
 
Sambil para hadirin berselawat dan berzanji, bayi didukung oleh bapa atau datuknya kemudian hadirin bergilir-gilir menggunting sedikit rambut bayi.

Adat itu pada asasnya tidak bertentangan dengan syariat Islam, namun tindakan masyarakat yang menokok tambah perkara lain serta tidak melakukan amalan itu berdasarkan syariat Islam sebenarnya membuatkan hukum majlis cukur jambul ada yang menyalahi ajaran Islam.

Namun apa yang menjadikan amalan itu bukan sunah apabila rambut bayi itu tidak dicukur sepenuhnya selepas majlis itu dan tiada pahala diperoleh daripada hanya mengunting sedikit rambut bayi yang baru lahir itu.

Majlis cukur rambut tidak wajib disertakan dengan marhaban atau berzanji memadai dengan bercukur sahaja melainkan jika diadakan akikah bolehlah diadakan jamuan.

Mengadakan majlis jamuan tidak menjadi kesalahan asalkan niat dan tujuan diadakan adalah ikhlas kerana Allah. Cuma dibimbangi sekiranya ia bertukar menjadi riak apabila diadakan secara besar-besaran. 

No comments:

Post a Comment