Tuntutan
memperbaiki diri meliputi semua perubahan atau pertukaran daripada yang buruk
kepada baik, dan daripada baik kepada lebih baik lagi. Kehidupan ini tidak
sepatutnya dibiarkan statik biarpun telah berada di tahap yang baik.
Usaha
ke arah itu memerlukan satu daya kesedaran yang berterusan untuk membentuk
kemampuan yang boleh melonjakkan diri melepasi halangan yang terbentuk dalam
diri dan persekitaran.
Tidak
dinafikan, usaha untuk berubah bukan satu perkara yang mudah. Terdapat banyak
halangan yang menjadikan usaha itu terbantut. Sebab itu, berubah kepada kebaikan
termasuk dalam tugas jihad. Semangat yang teguh diperlukan untuk berubah.
Halangan
biasa menjadikan manusia tidak berdaya berubah memperbaiki diri ialah sifat
malas, kejahilan, nafsu dan kurang keyakinan diri. Tambah lagi, syaitan
sentiasa membisikkan dalam diri agar meninggalkan kebaikan, dan sebaliknya
melakukan kejahatan.
Selain
halangan dalam diri, terdapat juga halangan persekitaran yang menggagalkan niat
untuk berubah. Halangan itu biasanya pengaruh rakan, budaya masyarakat, tiada
sumber kewangan dan kejadian semuajadi di sekeliling.
Kejayaan
tidak mungkin dicapai jika sekadar melakukan usaha separuh hati dan tanpa
perancangan yang teliti. Individu yang ingin berubah menuju kehidupan dengan
lebih nilai kebaikan perlu menanam tekad, iltizam, keazaman dan keikhlasan yang
kuat untuk melakukannya.
Bertaubat
juga sebahagian daripada cara untuk memperbaiki diri. Sesiapa yang bertaubat
bermakna berubah dari keadaan berdosa kepada diampunkan dosanya. Orang yang
bertaubat juga berubah meninggalkan perbuatan buruk yang dilakukan sebelum
itu.
Maksud
hadis Rasulullah: “Orang yang berhijrah itu adalah mereka yang meninggalkan
perbuatan dosa.” (Hadis riwayat Ahmad).
Niat
dan usaha hendak memperbaiki diri perlu dilakukan sedari awal dan tidak hanya menanti
apabila usia memasuki usia senja. Banyak orang memberi alasan ingin bebas
berseronok ketika usia muda.
Usia
muda masa terbaik untuk mengumpul lebih banyak pahala. Ketika itu tenaga masih
kuat. Daya ingatan tajam dan mudah mengingati apa yang dilakukan. Semangat
orang muda juga berkobar-kobar untuk melakukan sesuatu yang diingini.
Orang
muda biasanya belum mengidap penyakit berbahaya yang biasanya menghalang
seseorang daripada bergerak bebas. Ketika usia muda, tumpuan lebih dapat
diberikan untuk membina landasan kehidupan yang lebih baik.
Peluang
ini wajar direbut sepenuh sebelum tiba masa tua yang mana lebih banyak halangan
untuk beribadat seperti kurang tenaga, penyakit, ingatan tidak tajam, dan
tanda-tanda lain yang dikaitkan dengan usia tua.
Malah,
banyak orang yang menghabiskan hari tua dalam keadaan nyanyuk. Dalam keadan
begitu bagaimana hendak memperbanyakkan ibadat. Urusan kehidupan yang biasa pun
tidak dapat diuruskan dengan baik.
Masa
muda termasuk perkara yang perlu direbut sepertimana sabda Rasulullah yang
bermaksud: “Rebutlah lima kesempatan sebelum datang lima yang lain; iaitu masa
mudamu sebelum tiba masa tuamu, masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu, masa
kayamu sebelum datang masa fakirmu, masa lapangmu sebelum tiba masa sibukmu,
dan masa hidupmu sebelum datang kematianmu.” (Hadis riwayat Tirmizi).
Usaha
untuk berubah kepada kebaikan memerlukan pengorbanan dan bukan sekadar
angan-angan. Sekiranya ingin berubah tidak perlu menanti masa tua. Individu
yang benar-benar ikhlas untuk berubah tidak menangguhkan masa.
Tambahan,
usia kita semakin menunju penghujung, tidak tahu berapa lama lagi peluang untuk
terus menyedut udara nyaman di dunia ini. Berhati-hatilah, kita tidak
mengetahui berapakah lagi usia yang berbaki.
Sesungguhnya
nafsu tidak mengenal usia. Kekuatan nafsu tidak berkurang dengan bertambahnya
usia seperti berkurangnya tenaga, daya penglihatan dan daya pendengaran. Nafsu
masih ingin kepada keduniaan biarpun ketika hampir menemui maut.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Anak Adam boleh tua, tetapi akan tetap tinggal
bersamanya dua perkara iaitu kemahuan keras (nafsu) dan panjang angan-angan.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Untuk
mendidik nafsu perlu dilakukan secara berterusan. Rasulullah menjelaskan
dorongan nafsu adalah sebahagian daripada penyakit yang menyebabkan banyak
berlaku kerosakan dan penderhakaan.
Penyakit
nafsu tidak dapat disembuhkan melainkan melalui peningkat keimanan dan
ketakwaan. Ini perlu dilakukan dengan asuhan iman yang dilakukan secara
berterusan bermula sejak usia kanak-kanak, disuburkan ketika alam remaja dan
diteruskan ketika meniti alam kedewasaan.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya umatku akan ditimpa oleh penyakit umat-umat
dahulu; sombong, suka bermegah-megah, mengumpulkan kekayaan (dengan cara yang
tidak sah), berlumba-lumba merebut kemewahan dunia, pulau memulau, saling
berdengki hingga mengakibatkan berlakunya penderhakaan dan keadaan kacau
bilau.” (Hadis riwayat Hakim).
Bagi
memastikan kehidupan sentiasa dalam keredaan Allah, diri perlulah sentiasa
dikuasai oleh akal dan bukannya nafsu. Akal akan menyuruh manusia melakukan
kebaikan dan menolak daripada melakukan kejahatan.
Dengan
kekuatan akal yang dikuasai perasaan keimanan akan sentiasa menetapkan tujuan
hidupnya untuk menemui Allah dengan keadaan yang sempurna amalan kehidupan di
dunia ini. Atas matlamat itu kehidupan yang dilalui penuh bermakna dan tidak
tergelincir daripada landasan keimanan.
Berubah
meninggalkan kepalsuan dan dosa adalah sebenar-benar tanda keimanan. Hakikatnya
tiada untungnya bagi sesiapa yang merebut dunia dan meninggalkan akhirat kerana
akhirnya tetap akan merasakan kerugian yang tidak dapat ditebus lagi apabila
diri sudah berada pada hari pembalasan.
Renungkan
Firman-Nya yang bermaksud: “Apakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia
sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini
(dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanya sedikit.” (Surah at-Taubah,
ayat 38).
Sesiapa
juga hidup di dunia ini tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan dosa.
Sebab itu Allah membenarkan taubat sebagai pembersih diri. Jika diri tersalah
memilih jalan dosa, bersegeralah berubah memilih jalan yang sebenarnya.
Mari
kita sama-sama berubah ke arah kebaikan. Tidak kiralah berapa banyak perubahan
itu dicapai, asalkan perkara itu dilakukan secara berterusan. Islam
menganjurkan agar mengamalkan sikap istiqamah dalam melakukan sesuatu
kebaikan.
No comments:
Post a Comment