Hubungan
bebas lelaki dan perempuan membawa padah mencemarkan maruah diri, keluarga dan
agama. Segelintir muda-mudi Islam kini
tidak lagi segan silu berpelukan dan bercium di tempat awam. Mereka menganggap itu hak asasi yang tidak
boleh dihalang oleh sesiapa, termasuk ibu bapa mereka sendiri.
Keadaan
ini berlaku akibat kurang didikan agama dan pengaruh budaya Barat yang semakin
parah mengancam kemurnian dan kesucian Islam. Apa yang dilakukan tidak langsung menggambarkan diri mereka penganut
Islam. Mereka tidak mengikut apa yang
ditetapkan oleh Islam.
Nabi
Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah seorang lelaki dan wanita
berdua-duaan bersama melainkan jika ditemani oleh mahramnya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Pergaulan
bebas membenihkan gelora nafsu tidak terkawal. Sekarang banyak tempat boleh dijadikan lokasi melepaskan tuntutan
nafsu. Kewujudan hotel murah dan sikap pengurusan
hotel menawarkan sewaan mengikut jam memudahkan golongan muda menggunakan untuk
tujuan tidak baik.
Malah
cara hidup keluarga yang tidak mengambil berat soal halal haram apa dilakukan
anak-anak mereka turut mendorong sesetengah anak menjadikan rumah sendiri
sebagai tempat melakukan maksiat ketika ibu bapa tiada di rumah.
Peluang
berdua-duaan mendekatkan diri kepada perlakuan sumbang kerana perbuatan itu
terdedah kepada hasutan syaitan. Hadis
diriwayatkan Ahmad bermaksud: “Janganlah seorang lelaki dan wanita berdua-duaan
bersama kerana syaitan akan hadir sebagai orang ketiga.”
Maka, tidak hairanlah statistik kelahiran anak
tidak sah atau anak zina bertambah dari tahun ke tahun kesan daripada
persetubuhan haram yang dilakukan. Fenomina itu turut menyumbang kepada peningkatan kes buang bayi.
Tentunya satu amat memalukan apabila kebanyakan
kes buang bayi yang dilaporkan melibatkan golongan muda beragama Islam. Ini amat bertentangan dengan ajaran Islam
yang mengharamkan perbuatan zina dan lebih-lebih lagi membuang bayi yang
kebanyakannya menyebabkan bayi dibuang itu meninggal dunia. Malah lebih teruk apabila bayi yang baru
dilahirkan dibunuh demi untuk menutup aib.
Mendepani masalah ini, banyak pihak saling menuding
jari menyalahkan itu dan ini. Sikap itu
tidak menyelesaikan masalah. Apa yang buruk terus berulang tanpa bertemu titik
penyelesaian.
Hakikatnya, apa yang berlaku dapat diatasi
sekiranya kita kembali menghayati ajaran Islam. Islam mengajar agar saling menasihati dan mencegah perkara buruk. Apa
yang dilakukan tidak terhad kepada usaha mencegah secara fizikal, tetapi juga sikap
apabila berdepan dengan perkara buruk.
Perkara ini ditegaskan Rasulullah SAW melalui
sabda bermaksud: “Sesiapa antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka
hendaklah ia mengubah dengan tangannya, jika ia tidak berdaya maka ubahlah
dengan lisannya dan jika tidak mampu (ubahlah), dengan hatinya. Dan itulah
selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)
Maka itu, dalam Islam tidak wujud istilah jaga
tepi kain orang. Setiap orang
bertanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan mencegah berlaku keburukan.
Allah berfirman bermaksud: “Dan hendaklah ada
antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang
makruf dan mencegah daripada perkara mungkar; merekalah orang yang beruntung.” -
(Surah Ali Imran, ayat 104)
No comments:
Post a Comment