Bulan Ramadan ini adalah peluang
terbaik untuk menjayakan misi berhenti merokok. Kekuatan iman dan takwa yang
terjana melalui ibadat puasa dapat mengatasi mengatasi rasa ketagih.
Bagi individu dalam kategori ketagih
rokok, sukar untuk berpisah daripada rokok. Pada kebiasannya perokok tidak
senang duduk jika tidak merokok dalam tempoh tiga atau empat jam.
Jika ditahan-tahan keinginan itu
akan menyebabkan perasaan tidak tenteram dan tidak dapat melakukan tugasan
lain. Perkara ini disebabkan tubuh perokok telah terbiasa dengan nikotin.
Bagaimanapun, pada bulan Ramadan,
perokok yang ketagih sekalipun boleh berhenti merokok sekitar 12 jam bermula
dari sahur hingga berbuka. Perkara ini tidak dapat dijawab dengan ilmu sains,
melainkan mengakui itulah keberkesanan puasa meningkatkan ketakwaan.
Ini membuktikan ketagih merokok
dapat diatasi sekiranya minda kita menguasai mengatakan tidak boleh merokok
kerana ia perbuatan yang membatalkan puasa.
Hakikat bahawa perokok boleh menahan
diri daripada merokok dalam tempoh masa kira-kira 12 jam adalah satu kejayaan
besar. Kebiasan perokok ‘mesti’ merokok setiap selang dua atau tiga jam.
Pakar psikologi menjelaskan ketagih
merokok sebenarnya lebih dikuasai oleh minda dan perasaan. Ketagih merokok
sebenarnya dikuasai oleh keinginan merokok. Individu merokok bukan kerana
ketagih, tetapi keinginannya mengatakan dia perlu merokok.
Ketika berpuasa, segala kekuatan dan
tumpuan diberikan untuk menghalang diri daripada melakukan perbuatan
membatalkan puasa, termasuklah merokok. Jadi ketagih merokok secara tidak
langsung hilang.
Sekiranya selama ini perokok
mendakwa terpaksa merokok kerana ketagih, mengapa pula ketika berpuasa tidak
menunjukkan tanda-tanda ketagihan?
Sekiranya 12 jam mampu bertahan,
keupayaan yang sama perlu diteruskan. Jika ketika berpuasa tidak merokok kerana
tidak mahu membatalkan puasa, tanam pula azam tidak merokok selepas berbuka
kerana perbuatan mendatangkan keburukan.
Waktu berbuka hendaklah dimulai
dengan makan dan minum, bukannya merokok. Selesai berbuka, bersegeralah
menunaikan sembahyang Maghrib. Elakkan daripada memberi ruang masa untuk
memikirkan tentang keinginan merokok.
Selesai sembahyang, elok berdoa
kepada Allah agar memberi kekuatan diri menjauhkan tabiat merokok. Sesungguhnya
doa dan usaha yang dilakukan pada Ramadan mudah dimakbulkan Allah.
Selesai sembahyang Maghrib, diisi
dengan aktiviti berfaedah menantikan masa untuk ke masjid untuk bersembahyang
Isyak dan kemudian diikuti sembahyang tarawih.
Apabila pulang ke rumah, jangan
biarkan fikiran dan perasaan ingin kepada rokok. Cuba elakkan berada
bersama-sama orang yang merokok.
Lebih baik jika masuk tidur awal
untuk mengelak keinginan merokok. Atau,
jika ingin meneruskan ibadat malam seperti membaca al-Quran dan bersembahyang
sunat. Amalan itu dapat mengelak diri rasa ketagih rokok.
Untuk mengurangkan kesan ketagih
merokok, dinasihatkan agar memakan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran. Selain
itu banyakkan meminum air kosong.
Jika berjaya menjauhkan diri
daripada merokok sepanjang Ramadan, sudah tentu tidak sukar untuk terus
berhenti merokok pada bulan lain.
Untuk berhenti merokok memerlukan
motivasi, keazaman dan daya usaha yang gigih bagi mengatasi rasa ketagihan. Kejayaan
berhenti merokok pada bulan Ramadan perlu diteruskan dan jangan pula apabila
tiba Aidilfitri dijadikan pesta raya rokok.
Semua orang Islam perlu berusaha
menjauhkan diri daripada merokok. Merokok tidak baik untuk kesihatan. Kaedah umum hukum agama menetapkan
apa sahaja perbuatan diketahui mendatangkan keburukan perlu dijauhkan.
No comments:
Post a Comment