Allah telah mengingatkan kepada manusia agar
tidak terpengaruh dengan hasutan syaitan yang menjadi musuh nyata kepada
manusia. Niat jahat iblis dan syaitan dijelaskan kepada manusia sebagai
peringatan.
Dalam menghadapi kehidupan yang serba mewah
dan canggih ini, banyak manusia tidak mampu membezakan garis pemisah antara
kebenaran dan kebatilan. Mereka mengganggap kebenaran itu bagaikan
ranjau-ranjau yang berduri, sebaliknya mereka merasakan bahawa
kesesatan atau kekeliruan bagaikan taman indah yang dipenuhi dengan bunga
yang berwarna warni.
Syaitan yang wajib dijauhi bukan saja dalam
bentuk asal kejadiannya yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera manusia.
Malah, syaitan juga datang dalam bentuk manusia, yakni manusia terpengaruh
dengan tipu daya menjalankan tugas syaitan.
Syaitan menyesatkan sesiapa terpedaya dengan
janji-janji kosongnya. Syaitan menyusup dan menyelinap dalam semua aktiviti
kehidupan manusia.
Manusia yang menjadi agen syaitan lebih
berjaya menyesatkan manusia kerana mereka mempengaruhi secara terang-terang dan
memperlihatkan perbuatan secara nyata. Manusia mudah terpengaruh dengan apa
yang dapat dilihat dan didengar.
Perkara disuruh Allah SWT sudah tentu
mendatangkan kebaikan. Sedangkan apa dilarang jika dilakukan akan mendatangkan
keburukan dan jika dijauhkan akan mendatangkan kebaikan pula. Sebab itu, sikap
takwa mendekatakan kepada kejayaan dan menjauhkan daripada malapetaka.
Firman Allah SWT dalam surah at-Thalaq, ayat
2 dan 3 bermaksud: "Barangsiapa bertakwa kepda Allah, nescaya Allah akan
memberikannya jalan keluar (dari kesulitan) dan Dia akan memberikan pula rezeki
kepadanya dari (sumber) yang tidak diduga."
Sebaliknya, mereka yang hidup tanpa takwa dan
iman sentiasa keluh kesah dan tidak puas hati apa saja yang dimiliki atau
dicapai. Sikap tamak dan tidak bersyukur yang menguasai diri menyebabkan
tekanan perasaan dan seterusnya semakin jauh daripada kehidupan sebenar sebagai
hamba Allah SWT.
Inilah warna-warna kehidupan yang membawa
kepada manusia semakin jauh kepada petunjuk Allah SWT. Semakin dikejar
kehidupan tanpa kekuatan takwa, maka apa yang diperoleh hanya sia-sia dan
menampakkan kehidupan yang porak peranda.
Sebab itu, aspek ketakwaan mesti diutamakan
dalam pembentukan jatidiri bangsa. Penjenamaan cara hidup rakyat di negara kita
perlu lebih menumpukan kepada hakikat bahawa kehidupan manusia tidak dapat lari
daripada ikatan atau hubungan dengan Allah SWT.
Alangkah sesatnya mereka ini, ruginya
kehidupan mereka kerana telah dipengaruhi oleh musuh Allah SWT iaitu syaitan.
Ingatlah bahawa dalam sejarah kewujudan dunia, didapati syaitan atau iblis
merupakan makhluk pertama yang berada dalam kesesatan dan kemungkaran serta
berjanji untuk menyesatkan seluruh umat manusia di muka bumi ini.
Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah
ayat 19 bermaksud: “Syaitan telah menguasai mereka, sehingga mereka lupa
mengingati Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan
itu orang yang rugi.”
Syaitan adalah golongan kafir daripada jin.
Bapa mereka ialah iblis. Syaitan adalah musuh utama manusia dan syaitanlah yang
mengeluarkan Adam dan Hawa daripada syurga.
Manusia yang zalim iaitu yang berhati kejam,
mereka tidak merasa takut kepada Allah SWT dan perbuatan mereka melanggar
hukum-hukum Allah. Syaitan akan meninggalkan dan membiarkan manusia pada saat
genting apabila manusia telah terjebak mengikut telunjuknya.
Manusia yang berhati syaitan atau saudara
syaitan adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya dan menjadi pengikut jalan
para perosak. Mereka ini tidak mendapat petunjuk dari Allah SWT sedikit pun.
Di dalam hatinya terdapat sifat-sifat tercela
seperti tamak, hasad dengki, iri hati, zalim, melakukan kemaksiatan malah
mendorong ke arah kederhakaan kepada Allah SWT.
Mereka yang dikuasai oleh syaitan sebenarnya
kebatilan telah menguasai hati mereka dan menyangka bahawa syaitan adalah
teman karibnya sehingga menjadi pengikut syaitan, maka ingatlah bahawa musuh
Allah SWT ini sentiasa mengintai-intai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk
dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam.
Dalam usaha menjadikan manusia itu sebagai
pengikutnya, maka sudah menjadi kebiasaan syaitan melakukaan kefasadan,
memusuhi anak Adam, mendatangi anak Adam dari sebelah kanan, kiri, hadapan
dan belakang mereka. Sentiasa mencari cari peluang untuk menghasut, menyesat
dan menakutkan manusia.
Setiap kali berjaya mempengaruhi manusia
melakukan kejahatan dan membenci kebaikan, syaitan semakin bersemangat untuk
meneruskannya.
No comments:
Post a Comment