Daerah Baling merupakan daerah yang kedua
terbesar di negeri Kedah dengan keluasan 1,530 kilometer persegi. Ia
bersempadan dengan negara Thailand dan negeri Perak di sebelah timur,
bersempadan dengan daerah Sik dan Kuala Muda di sebelah barat manakala daerah
Kulim di sebelah selatan.
Bentuk muka bumi daerah Baling diliputi
dengan kawasan tanah pamah di tengah dan kawasan berbukit bukau di bahagian dekat
sempadan Thailand. Sungai utama melalui bandar Baling ialah Sungai Ketil.
Terletak di kaki Gunung Pulai dan Gunung Baling, ia sinonim
dengan mitos Raja Bersiong serta menjadi saksi perjuangan menentang komunis,
kini dikenali dengan pelancongan alam semula jadi.
Di bandar Baling terdapat beberapa bukit batu kapur yang menjadi tarikan pengunjung.
Kawasan ini didiami sejak 16,000-17,000 tahun dahulu. Menjelang hujung abad ke-19 hingga awal abad ke-20, Baling
berfungsi sebagai pusat pengumpulan bijih timah dari Klian Intan sebelum
diangkut melalui Sungai Ketil.
Terdapat mitos yang mengaitkan nama Baling dengan kisah Raja
Bersiong yang membaling taringnya, dengan kawasan taring tersebut jatuh kini
dikenali sebagai Pekan Siong. Satu lagi teori menyatakan ia berasal daripada
bahasa Siam, "Ban-Ling" yang bermaksud kampung kera.
Bandar Baling adalah bandar terbesar di
daerah Baling. Pada sekitar 1980-an apabila Lebuh Raya Timur Barat dibuka,
pengguna jalan raya yang ingin ke daerah lain di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis
“wajib” melalui bandar Baling. Laluan bermula dari Gerik menuju ke Pengkalan Hulu
dan seterusnya memasuki sempadan negeri Kedah sebelum sampai di bandar Baling.
Bagaimanapun sekarang ini sudah ada jalan
pintas dari Gerik terus menuju ke Kupang yang lebih selesa dan dekat. Jadi, kebanyakan
yang ingin ke Utara tidak lagi melalui bandar Baling.
Dalam sejarah negara, Baling terkenal kerana
di situ berlaku atau diadakan Rundingan Damai Baling pada 29 Disember 1955 di
antara kerajaan Tanah Melayu dengan pihak komunis.
Rundingan damai di antara kerajaan dengan
pihak komunis ini bertujuan untuk menamatkan darurat berikutan dengan tawaran
pengampunan beramai-ramai kepada anggota-anggota Parti Komunis Malaya yang
telah dibuat pada 9 September 1955.
Rundingan damai ini telah diadakan di
Sekolah Inggeris Baling, Kedah dan berlangsung di dalam empat sesi bermula pada
Disember 1955.
Pihak Kerajaan diwakili oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah
Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Singapura, David Marshall,
serta Datuk Sir Tan Cheng Lock. Manakala di pihak komunis pula diwakili oleh
Ching Peng, Chen Tian dan Abdul Rashid Maidin.

No comments:
Post a Comment