Dalam Islam, mencukur rambut bayi yang
baharu lahir disebut oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud:
"Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia
ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama". (Hadis riwayat Ahmad)
Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Nabi
SAW kepada cucu-cucunya, Hasan dan Husain, apabila jatuh hari ketujuh diadakan
akikah dan memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua..
Mencukur rambut sehingga licin sebagai
tanda permulaan kehidupan anak kecil lelaki atau perempuan sebagai manusia dan
hamba di sisi Allah.
Dari segi kesihatan, ia dapat membersihkan
saki baki kotoran pada kepala bayi semasa di dalam rahim. Sabda Rasulullah SAW
bermaksud: “Seorang anak itu bersama akikahnya, maka tumpahkan darah sembelihan
dan bersihkanlah penyakit / kotoran (dari kepalanya)”. (Hadis riwayat Bukhari)
Rambut yang dicukur kemudian ditimbang.
Berat rambut itu kemudian disamakan dengan nilai perak untuk berat yang sama. Jumlah
nilai perak itu kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin. Bagaimanapun,
ulama hari ini menyatakan, emas boleh digunakan bagi menggantikan perak.
Perlu diingat, sunahnya adalah mencukur
keseluruhan rambut dan bukanlah menggunting sedikit rambutnya.
Di Malaysia, majlis bercukur bayi sudah
menjadi adat yang dipanggil “cukur jambul”.
Sunah tidak menjelaskan siapa yang perlu
mencukur rambut bayi itu. Sesiapa pun boleh mencukurkan asalkan tidak
mencederakan kepala bayi itu. Tetapi menjadi adat yang diamalkan, rambut bayi
itu bukannya dicukur, tetapi dipotong menggunakan gunting.
Setiap tetamu atau hanya
sebahagian yang hadir akan memegang hujung rambut bayi dan dipotong sedikit.
Potong sedikit kerana ingin memberi peluang kepada yang lain turut dapat
memotong.
Tidak kisahlah hendak potong
sedikit-sedikit dengan gunting, tetapi apa yang disarankan oleh sunah ialah
mencukur kesemua rambut itu. Maksudnya, selepas majlis perlulah dicukurkan
sepenuhnya. Itupun kalau hendak ikut sunah. Kalau tidak melakukannya bukanlah
dosa.
Namun, alang-alang telah melakukannya,
mengapa tidak dicukurkan sepenuhnya. Ikutlah sunah. Dapat pahala melakukan apa
yang disuruh.
Elakkan melakukan amalan adat seperti
menggunakan buah kelapa, garam, beras dan bunga semasa mencukur rambut anak
yang menyerupai budaya Hindu. Ini kerana amalan bercukur turut diamalkan di
kalangan masyarakat India yang beragama Hindu.
Sebahagian masyarakat Islam hari ini tidak
mencukur rambut anak-anak hingga botak sebaliknya mengadakan upacara cukur
jambul sebagai adat dan tradisi yang diamalkan sejak turun temurun. Tambah
mengelirukan, rambut yang digunting itu dimasukkan ke dalam buah kelapa.
Mengikut sesetengah pendapat, amalan cukur
jambul adalah tradisi dan kepercayaan yang dilakukan oleh masyarakat India
seperti menggunakan buah kelapa. Soalnya, kenapa menggunakan buah kelapa?
Apakah relevan amalan sebegini dengan masyarakat Islam?
Selain amalan-amalan di atas yang
bertentangan dengan syariat agama, kesilapan yang turut dilakukan ibu bapa hari
ini ialah akikah atau cukur rambut dilakukan setelah bayi berusia beberapa
bulan. Majlis tersebut turut disertai dengan adat berendoi di mana buaian
dihias dengan bunga-bungaan dan perhiasan lain.
Sebenarnya, upacara cukur rambut tidak
perlu disertakan dengan jamuan. Ia memadai dengan bercukur rambut sahaja.
Melainkan jika ia diadakan pada hari akikah, bolehlah diadakan jamuan.



No comments:
Post a Comment