Thursday, 22 February 2018

APA HUKUM MAIN DAM AJI

Haram main dam aji? Sebenarnya semua jenis permainan hukumnya harus atau dibolehkan dimainkan.

Namun terdapat syarat untuk hukum harus bermain dam aji. Perkara pertama mestilah perkara permainan itu tidak melibatkan perkara haram dan melalaikan sehingga menghalang tugas yang yang sepatut dilakukan.

Jika permainan itu menyebabkan hilang kesempatan untuk menunai solat pada waktunya atau permainan itu disertai taruhan, hukumnya haram.

Bermain dam aji diharamkan apabila membuang masa apatah lagi sehingga meninggalkan solat, tipu menipu, melakukan kezaliman seperti tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga kerana leka bermain atau berlaku pertaruhan seumpama judi.

Bagi mazhab Syafie permainan ini adalah makruh pada asasnya dan jika disertai dengan apa-apa keburukan yang disebutkan di atas, ia tetap membawa kepada haram dalam mazhab Syafie.

Makruh itu pun dengan syarat bukannya main catur selalu, bukan dijadikan mainan harian, tidak bermain di khalayak ramai dan sekadar bermain-main sahaja. Ini yang perlu dijelaskan daripada mazhab Syafie.

Bukan kata bila makruh, boleh main siang malam. Ada juga pendapat yang mengatakan harus bermain kerana mengasah minda dan otak untuk berfikir.

Kalau sudah berjam-jam bermain dam aji, itu bukan lagi mengasah minda. Selain yang bermain, ada juga yang menjadi penonton keliling pemain dam aji. Yang sekadar melihat itu tentu bukan mengasah minda lagi.

Kebanyakan yang main dam aji bukan golongan kaya. Mereka sepatutnya lebih menutamakan usaha untuk mencari rezeki. Tambah pendapatan untuk keluarga.

Ada tempat tumpuan main dam aji sentiasa ada orang bermain dari pagi hingga lewat malam. Biarpun pemain bersilih ganti, ada yang individu berada di situ hingga berjam-jam yang mengganggu tugas mencari rezeki.

Jadi, fikirkan adakah anda melakukan perkara harus atau haram.

Thursday, 15 February 2018

Bukit Bunga pesat membangun

Nama Bukit Bunga semakin terkenal dan menjadi tumpuan sebagai pusat membeli belah di Kelantan amnya dan bagi penduduk Jeli dan Tanah Merah khasnya. 

Jarak pekan Bukit Bunga dari bandar Kota Bharu kira-kira 75 Km dan 25 Km dari bandar Tanah Merah. Manakala dari sempadan Malaysia - Thailand hanya kira-kira 1 Km yang dipisahkan oleh sebatang sungai.

Pekan Bukit Bunga terletak dalam daerah (mukim) Jedok, jajahan (daerah) Tanah Merah. Namun, kebanyakan orang menyangka Bukit Bunga berada dalam jajahan Jeli kerana ia terletak dalam Parlimen Jeli.

Pekan Bukit Bunga mempunyai potensi besar untuk terus membangun selari dengan pembangunan kawasan barat dan selatan Kelantan. 

Kerajaan tidak mengabaikan kawasan tersebut biarpun kedudukannya agak terpencil dari bandar Kota Bharu dan bandar-bandar utama lain di Kelantan.

Kedudukannya di laluan Jalan raya Timur Barat yang menghubungkan Utara Semenanjung dengan Pantai Timur banyak membantu perkembangan perniagaan di pekan tersebut. 

Sebahagian besar pembeli di pekan Bukit Bunga adalah mereka dalam perjalanan di antara kedua-dua destinasi tersebut.

Satu lagi faktor membantu pembangunan Bukit Bunga ialah pembukaan laluan menghubungkan Malaysia (Bukit Bunga) - Thailand (Buketa) dan penampatan Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Bunga berhampiran pekan itu.

Melalui laluan tersebut, lebih ramai rakyat dan lebih banyak barangan dari kedua-dua negara dapat keluar masuk dengan secara sah.  

Keluang lebih besar berbanding kelawar

Keluang merupakan sejenis mamalia terbang dari keluarga kelawar. Saiznya jauh lebih besar dari kelawar. Jadi, keluang dipanggil 'kelawar besar'. Dalam bahasa Inggeris keluang dipanggil 'large flying fox'.

Terdapat tempat di Malaysia menggunakan nama 'keluang'. Paling terkenal tentulah Keluang, Johor. Keluang adalah salah satu daerah pentadbiran di Johor dan nama bandarnya juga dikenali bandar Keluang.

Di Terengganu ada Kampung Keluang yang menjadi pusat peranginan terkenal di daerah Besut. Di situ terdapat Bukit Keluang yang kini terkenal dengan pendakian riadah.

Dapat dikesan juga nama Kampung Keluang di Sabah dan di Pahang.

Biarpun keluang secara rupanya sama dengan kelawar, kecuali saiznya berkali-kali ganda lebih besar dari kelawar, tetapi hakikatnya adalah dari segi sifat dan kebolehan yang amat berbeza.

Ukuran keluang berkali-kali ganda lebih besar berbanding kelawar biasa. Panjang antara hujung sayap dengan hujung sayap kira-kira 0.5 meter hingga 1.5 meter.

Tabiat keluang berbeza dengan kelawar. Jika kelawar keluar pada waktu malam, keluang pula keluar pada waktu pagi. Sifatnya waktu cari makan sama dengan burung yang keluar waktu pagi dan pulang ke sarang pada waktu petang.  

Keluang mempunyai mata boleh melihat. Sebab itu, keluang terbang berkawan dan arah terbangnya lurus seperti burung. 

Keluang terbang jauh pergi mencari makan hingga berpuluh-puluh kilometer dari tempat tinggalnya setiap hari. Semasa terbang, kadang kala keluang mengeluarkan bunyi nyaring.  

Makanan utama keluang ialah buah-buahan dan manisan bunga. Mana-mana tempat mempunyai dusun pokok sedang berbuah akan menjadi tumpuan kumpulan keluang. 

Keluang makan buah yang hampir masak dan masak. Buah yang dimakan tidak habis dan ditinggalkan rosak.  

Keluang menjadi musuh utama bagi pemilik dusun. Tidak ada cara khusus untuk menahan serangan keluang. Keluang termasuk haiwan yang dilindungi.  

Pada waktu petang (hampir malam), keluang akan berkumpul sambil mengeluarkan bunyi yang nyaring. 

Sunday, 4 February 2018

TENGGILING DAPAT PERMINTAAN TINGGI

Tenggiling semakin terancam. Habitat tenggiling dirosakkan oleh proses pembangunan dan kerakusan manusia mengeksplotasi sumber alam. Paling ketara sekarang ini tenggiling menjadi buruan peniaga tenggiling yang merentasi sempadan antara bangsa. Permintaan terhadap tenggiling sebagai makanan eskotik amat tinggi. 

Walaupun kajian saintifik tidak menunjukkan ada nilai perubatan namun permintaan sisik tenggiling masih tinggi.

Permintaan tinggi terhadap daging haiwan eksotik terutama oleh pembeli di China, Vietnam dan Laos menyebabkan tenggiling semakin kerap diseludup ke negara itu. Harga tenggiling boleh mencapai RM1,400 sekilogram di restoran Vietnam.

Tenggiling ditangkap dan diseludup bukan sahaja kerana dagingnya, tetapi juga sisik. Sisik tenggiling digunakan untuk membantu dalam rawatan tradisional bagi penyakit seperti demam dan demam malaria, tetapi sehingga kini belum ada kajian saintifik yang dapat membuktikan keberkesanannya.

Malaysia adalah antara laluan penting penyeludupan tenggiling ke Vietnam dan China. Sindiket penyeludupan mengambil masa kurang daripada lima jam untuk membawa haiwan dari Indonesia ke Thailand.

Ini menunjukkan betapa cepat dan mudahnya penyeludupan berlaku. Daripada laporan media terdapat banyak kes penyeludupan tenggiling di Malaysia.

Menurut pakar jumlah yang dapat ditangkap atau dirampas adalah lebih kurang 10 peratus daripada kes perdagangan haram yang sebenar. Jika maklumat ini benar status pemuliharaan tenggiling amatlah membimbangkan.

Kerajaan melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sentiasa membuat tangkapan dan rampasan penyeludup tenggiling atau sisik tenggiling.

Antara nilai rampasan itu ialah 136 ekor tenggiling dan 450 kilogram (kg) sisik tenggiling bernilai RM320,287.00.

Rampasan 408 kg sisik bernilai anggaran RM5,263,200 dan 304 kg bernilai RM3.92 juta dan 288 kg bernilai RM3.69 juta, 136 ekor tenggiling dan 300.90 kg sisik tenggiling dianggarkan bernilai RM3.86 juta, 712 kg sisik tenggiling bernilai RM9.18 juta, dan 8,000 kg sisik tenggiling yang dianggarkan bernilai RM100 juta.

Tentu mengejutkan apabila nilai rampasan berkaitan tenggiling bernilai jutaan ringgit. Biasanya kita hanya mendengar rampasan bernilai jutaan ringgit yang melibatkan dadah dan emas sahaja.

Sisik tenggiling berharga mahal

SISIK TENGGILING BERHARGA MAHAL

Tenggiling ini adalah antara haiwan yang banyak ditangkap dan diseludup dengan aktifnya kerana manusia suka memakan daging dan menggunakan sisiknya.

Selain untuk rawatan seperti yang dinyatakan, tenggiling juga dikaitkan dengan penyakit sendi dan asma atau lelah.

Permintaan tinggi terhadap daging haiwan eksotik terutama oleh pembeli di China, Vietnam dan Laos menyebabkan tenggiling semakin kerap diseludup ke negara berkenaan.

Menurut Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) tidak banyak maklumat tentang populasi tenggiling di dunia termasuk juga kajian biologi dan ekologinya.

Ini mungkin kerana sifatnya yang bersendirian dan aktif pada waktu malam dan kurang berinteraksi dengan manusia. Tenggiling tidak mempunyai penglihatan dan pendengaran yang baik tetapi mempunyai sistem deria bau yang kuat.

Semua tenggiling adalah dilindungi oleh undang-undang antarabangsa. Tenggiling dikenali sebagai seekor mamalia yang bersisik.

Sisik tenggiling terdiri daripada keratin yang sama dengan protein yang membina rambut dan kuku atau tanduk pada badak.

Sisiknya menutupi badan daripada hujung kepala hinggalah hujung ekor.

Sisiknya yang keras terdiri daripada keratin dan berbeza antara spesies. Sisik tenggiling melindungi badan mereka daripada musuh dengan cara menggulung badan seperti bola.

Sisik yang keras dan hujung sisik yang tajam dapat menghalang daripada ditangkap musuh. Fenomena ini sesuai dengan namanya tenggiling yang bermakna pengguling.

Tenggiling ditengkap dan diseludup bukan sahaja kerana dagingnya, tetapi juga sisik. Harga tenggiling mencecah sehingga RM1,000 sekilogram. Begitu juga dengan harga sisiknya.

HARI TENGGILING SEDUNIA

Sejak tahun 2012, pada setiap hari Sabtu ketiga bulan Februari, National Geography telah mengisytiharkan sebagai sambutan Hari Tenggiling Sedunia.

Tenggiling pun ada Hari Tenggiling Sedunia. Tentu sekali National Geography ada alasan tersendiri mengapa memilih satu hari untuk diperingatkan sebagai Hari Tenggiling Sedunia.

Seperti hari-hari sempena habitat atau haiwan liar lain, sambutan Hari Tenggiling Sedunia ini adalah bertujuan untuk kempen kesedaran awam bagi pemuliharaan haiwan liar berkenaan.

Dalam usaha kempen kesedaran ini kombinasi seni, literasi, sains dan sosial didedahkan kepada masyarakat umum agar maklumat pemuliharaan tenggiling ini sampai kepada masyarakat seluruh dunia.

Berbagai-bagai aktiviti diadakan seperti melukis, mewarna, bercerita, seminar saintifik tentang tenggiling dan menerangkan kenapa ia perlu dipulihara.

Tenggiling seperti hidupan lain semakin terancam. Habitat mereka dirosakkan oleh proses pembangunan dan kerakusan manusia mengeksplotasi sumber alam.

Paling ketara sekarang ini tenggiling menjadi buruan peniaga tenggiling yang merentasi sempadan antara bangsa. Permintaan terhadap tenggiling sebagai makanan eskotik amat tinggi.

Permintaan tinggi untuk makanan dan perubatan tradisional ini menyebabkan populasi tenggiling ini berkurang dengan cepat di Asia dan spesies lain umumnya di Afrika.

Walaupun kajian saintifik tidak menunjukkan ada nilai perubatan namun permintaan sisik tenggiling masih tinggi.

Tenggiling ini adalah antara haiwan yang banyak ditangkap dan diseludup dengan aktifnya kerana manusia suka memakan daging dan menggunakan sisiknya.

Selain untuk rawatan seperti yang dinyatakan, tenggiling juga dikaitkan dengan penyakit sendi dan asma atau lelah.

Permintaan tinggi terhadap daging haiwan eksotik terutama oleh pembeli di China, Vietnam dan Laos menyebabkan tenggiling semakin kerap diseludup ke negara berkenaan.

Harga tenggiling boleh mencapai RM1,400 sekilogram di restoran Vietnam berbanding RM88 untuk pemburu dan antara RM180 hingga RM1.060 untuk penyeludup.

Mereka yang melakukan kesalahan boleh dihadapkan ke mahkamah mengikut seksyen-seksyen berkaitan dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

SEPAKAT DALAM SOAL MEMBAWA KEBAIKAN

Penyatuan manusia sebenarnya banyak melibatkan tatacara bagaimana hubungan dilangsungkan, baik secara fizikal maupun rohani. Islam menekankan cara hidup yang menekankan akhlak mulia, kasih sayang, saling menghormati, hidup bersama, bersatu dan bersetia.    

Islam melarang sama sekali dilakukan perbuatan yang membawa kepada permusuhan dan kemusnahan. Sebab itu, jalinan persaudaraan adalah satu perintah yang mesti ditunaikan sebagai tanda mentaati Allah. 

Sesiapa yang menjalin persaudaraan dengan ikhlas mematuhi kehendak agama, dia melakukan usaha untuk mendekatkan dirinya kepada Allah. 

Sebaliknya, sesiapa memutuskan hubungan sesama manusia, samalah dia memutuskan hubungannya dengan Allah.

Persaudaran sesama Muslim adalah ikatan iman, yang mana sesiapa melepaskan ikatan itu bermakna melepaskan dirinya daripada kelompok orang Muslim. 

Perbuatan itu merobohkan kekuatan binaan persaudaraan Islam yang kesannya dialami seluruh umat Islam.

Persaudaraan atas dasar iman tidak akan terputus biarpun dilanda hebat dengan berita fitnah, adu domba dan gosip. Sebarang keraguan yang wujud diselesaikan secara bersemuka dan berterus terang. 

Apa yang keruh dijernihkan, yang rapuh diperteguhkan dan yang hampir putus disambung kembali.

Semua masalah berkaitan persaudaraan dapat diselesaikan dengan mudah jika masing-masing memikirkan amanah agama mengatasi segala-segalanya.

Kemuncak kemanisan hubungan persaudaraan ialah bersedia memaafkan atau menerima kelemahan saudaranya tanpa sebarang syarat.

Justeru, Islam menegah sama sekali wujud rasa kebencian, permusuhan, dendam, irihati dan mementingkan diri sendiri.  

Sifat-sifat itu dijelaskan oleh Allah sebagai punca perpecahan sesama manusia dan sifat keji yang diumpamakan seperti memakan daging manusia. 

Berdasarkan penilaian rohani, individu yang mementingkan ikatan persaudaraan mengamalkan kehidupan penuh aman dan tenang. Dia sentiasa merasakan semua orang yang berada di sekelilingnya adalah saudaranya. 

Di dalam diri individu yang mementingkan ikatan persaudaraan tidak wujud perasaan dengki dan bermusuhan. Setiap kejayaan yang dicapai dan dinikmati oleh orang lain dia turut merasa bersyukur sepertimana dia sendiri mendapatnya. 

Manakala kejayaan yang diperoleh dirinya dikongsikan bersama-sama orang lain. 

Saturday, 3 February 2018

APABILA MASA TELAH BERUBAH


Pelakon terkenal Arnold Schwarzenegger pada sekitar Ogos 2017 menyiarkan gambar dirinya tidur di jalanan di bawah patung gangsa yang terletak di Columbus, Ohio. Patung dirinya itu dirasmikan ketika dia menjadi gabenor California.

Catatan atau kapsyen gambar itu berbunyai: "bagaimana masa telah berubah".  

Sejarah mencatatkan Arnold Schwarzenegger bintang filem terkenal menjadi pujaan peminat seluruh dunia. Beliau kemudian menceburi politik dan menang jawatan Gabenor California.

Masa telah berubah, tetapi sejarah tetap sama. Nama Arnold Schwarzenegger dalam dunia perfileman semakin hilang biarpun masih banyak peminat. Dia tidak lagi menjadi Gabenor California.

Tidak pasti mengenai cerita di sebalik gambar Arnold Schwarzenegger tidur di sisi patungnya, tetapi kita perlu sedar siapapun kita pada suatu ketika dahulu telah pun menjadi sejarah.

Jadi, kita perlu bersedia untuk memasuki fasa hidup yang mana ketika itu kita mungkin tidak dikenali lagi. Tiada orang akan bertandang bertemu kita walaupun pada satu ketika ada ribuan orang sanggup bertemu dengan kita dalam sehari.

Wajah kita tidak lagi dipuji atau disukai orang. Suara kita tidak lagi menarik minat sesiapa. Tiada siapa lagi ingin mematuhi arahan kita.

Semuanya berubah. Yang tidak berubah hanyalah ketetapan bahawa kita semua akan mati. Yang kekal dibawa ke akhirat hanyalah amalan yang dilakukan di dunia ini sebagai bekal di akhirat. 
 

Thursday, 1 February 2018

GAMBAR TIDAK MENYATAKAN SELURUH KEBENARAN


Pada 1 Februari 1968, akhbar New York Times memaparkan satu gambar yang menarik perhatian sedunia. Gambar ini menjadi antara gambar yang paling ikonik tentang Perang Vietnam.

Jurugambar yang merakam gambar tersebut, Eddie Adams memenangi Hadiah Pulitzer yang merupakan hadiah paling berprestij dalam dunia kewartawanan Amerika Syarikat.

Gambar ini menunjukkan seorang pegawai polis Vietnam Selatan, Nguyen Ngoc Loan, sedang menembak seorang anggota Viet Cong, Nguyen Van Lem di kepalanya.

Ketika itu, Amerika Syarikat memberi bantuan kepada Vietnam Selatan untuk memerangi Viet Cong yang merupakan gerila komunis.

Gambar ini menimbulkan kemarahan orang ramai. Reaksi orang ramai melontarkan kata-kata "kejamnya","jahatnya Vietnam Selatan",  "zalimnya tindakan mereka terhadap orang awam",  "macam ini kah negara yang kita sokong" dan pelbagai ungkapan lain

Gambar ini menjadi antara pemangkin kepada sentimen anti-Perang Vietnam di kalangan rakyat Amerika Syarikat. Sentimen itu akhirnya memdorong Amerika Syrikat berundur daripada Vietnam pada tahun 1973.

Tapi gambar itu tidak menceritakan kejadian sebenar disebalik tindakan menembak itu.  Lem telah membunuh sahabat baik dan pegawai bawahan Loan iaitu Nguyen Tuan serta sekeluarganya, termasuk isterinya, 6 anaknya dan ibunya yang berumur 80 tahun.

Kesemuanya dibunuh dengan cara kejam iaitu dengan memotong leher. Selepas Lem ditangkap, Loan memilih untuk membunuh Lem dengan tangan sendiri untuk membalas dendam bagi Tuan.

Apa yang gagal ditangkap oleh kamera Adams ialah air mata Loan ketika mengenang pengorbanan Tuan sepanjang perkhidmatan sebagai anggota polis.

Namun satu dunia telah menghukum Loan sebagai "penjahat" dan "penjenayah perang".  Selepas Vietnam Selatan ditawan, Loan berhijrah ke Amerika Syarikat. Di situ beliau menerima pelbagai diskriminasi dan gangguan akibat daripada buruk sangka orang ramai terhadap tindakannya menembak Lem.

Selepas mengetahui cerita yang sebenar, Adams cukup kesal dengan tindakannya. Adams telah memohon maaf dengan Loan sebelum Loan meninggal dunia pada tahun 1998.

Dalam eulogi yang ditulis oleh Adam untuk Loan dalam majalah Time, Adams telah mengatakan bahawa: "Dua orang mati dalam gambar itu: penerima peluru dan pegawai polis Nguyen Ngoc Loan. Pegawai polis membunuh Viet Cong, saya membunuh pegawai polis dengan kamera saya".

Adams turut berpesan kepada orang ramai: "Gambar berbohong, walaupun tanpa manipulasi.  Mereka hanya memberitahu separuh sahaja yang benar. Apa yang tidak dijelaskan  gambar itu, ialah apakah yang akan anda akan lakukan jika berada di tempat pegawai itu ketika suasana amat kritikal."

Adams telah menzalimi Loan dengan satu gambar yang tidak menjelaskan konteks. Loan disalahfaham dan dijatuh hukum oleh pendapat umum.

Tidakkah kita mengambil iktibar bahawa betapa banyak gambar yang sengaja disebarkan di media cetak dan media sosial adalah bertujuan untuk menabur fitnah dan mencipta persepsi buruk?

Adakah kita benar-benar meneliti konteks di sebalik setiap gambar tersebut sebelum menghukum?

Adams bertuah kerana sempat memohon maaf dari Loan. Adakah kita akan diberi peluang yang sama?

Berhati-hatilah dalam menyebarkan gambar yang diniatkan untuk dimanipulasikan cerita di sebalik gambar itu.